Negara kehilangan sejarawan, guru yang hebat Khoo Kay Kim 


Looi Sue-Chern

Khoo Kay Kim dan anaknya Eddin Khoo di bilik bacaan di rumahnya di Kuala Lumpur semasa menyiapkan buku I, KKK -- The Autobiography of a Historian pada 2017.– Gambar Pauline Fan, 28 Mei, 2019.

PEMIMPIN, rakan dan bekas pelajar serta peminat menjadikan media sosial sebagai platform menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga sejarawan terkenal Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pada usia 82 tahun hari ini.  

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim, yang merupakan bekas pelajar profesor emeritus dari Universiti Malaya itu berkata, beliau berharap keluarga Khoo tabah menghadapi waktu sukar ini. 

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu turut menyatakan ucapan takziahnya kepada keluara Khoo.

“Antara jasa besar Khoo kepada negara ialah terlibat dalam menulis Rukun Negara selain banyak mencurahkan baktinya dalam mendidik anak bangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga beliau Puan Sri Rathi, Eddin, Rubin dan Mavin.

“Khoo pasti akan dikenang kerana sudah banyak menabur bakti kepada negara.”

Susulan rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969, Khoo terlibat dalam merangka Rukun Negara. 

Bekas perdana menteri Najib Razak turut menyatakan ucapan takziahnya kepada keluarga Khoo.

Peguam bela Anas Zubedy, melalui Twitter, menyifatkan Khoo sebagai rakyat Malaysia yang hebat dan “salah seorang sejarawan yang paling serius dan adil yang kita pernah miliki”.

Praba Ganesan menerusi Twitter berkata, Khoo sangat percayakan Malaysia dan negara perlu mempunyai lebih ramai pemimpin yang mencontohi beliau. 

Sementara itu, Sufi Khirul Bahri (@catcrazesufi) memberi penghormatan dan menyifatkan Khoo sebagai guru yang hebat.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, turut menyuarakan ucapan takziah mereka.

Khoo meninggalkan tiga orang anak iaitu Eddin, Rubin dan Mavin. – 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen