PERKHIDMATAN seismik China, CENC, mengesan sebuah gempa bumi berukuran 3.4 magnitud di Korea Utara hari ini, dan menganggapnya sebagai sebuah letupan.
Pusat gempa itu berada pada kawasan sama gempa bumi lemah pada 3 September lalu yang kemudiannya disahkan sebagai ujian nuklear Korea Utara, lapor agensi berita rasmi Xinhua.
Gempa bumi itu berlaku beberapa hari selepas pertelingkahan mulut antara Presiden AS Donald Trump dan rejim Kim Jong-Un sehingga menimbulkan kegusaran dunia.
Ujian yang dilakukan September lalu adalah letupan keenam Korea Utara dan paling berkuasa menyebabkan gempa bumi berukuran 6.3 magnitud yang dirasai di sempadan China.
Pyongyang kemudiannya berkata negara itu melakukan ujian bom hidrogen yang boleh dimuatkan ke dalam peluru berpandu- dakwaan yang tidak dapat disahkan mana-mana kerajaan asing.
Tindakan itu mencetuskan kecaman dunia, menyebabkan Majlis Keselamatan PBB untuk mengundi sebulat suara mengenakan sekatan terbaru ke atas negara itu termasuklah penghantaran minyak. – AFP, 23 September, 2017.
Komen