Bangladesh kata kebanjiran pelarian Rohingya sudah terhenti


Hampir 430,000 pelarian Rohingya tiba di Bangladesh dalam tempoh empat minggu sejak keganasan terbaru tercetus di Myanmar. – Gambar EPA, 23 September, 2017.

KEBANJIRAN pelarian Rohingya ke Bangladesh nampaknya sudah terhenti, kata pegawai hari ini selepas sebulan keganasan tercetus di Myanmar yang menyaksikan 430,000 pelarian melarikan diri dalam tempoh empat minggu.

Penduduk Islam Rohingya memenuhi kem sementara di bandar Co’x Bazar di sempadan Bangladesh sehingga menyebabkan kemampuan agensi kerajaan dan PBB mengendalikannya mencapai had.

Tetapi pegawal sempadan Bangladesh berkata mereka tidak lagi melihat bot membawa etnik Rohingya di sungai Naf yang merupakan sempadan negara itu dengan Myanmar atau Teluk Bengal sejak tiga hari lepas. Ketibaan pelarian melalui jalan darat juga hampir terhenti.

“Pengawal kami tidak melihat Rohingya sejak beberapa hari lepas. Gelombang (pelarian) sudah berakhir,” kata Komander Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) S.M. Ariful Islam kepada AFP.

PBB juga mengatakan “kebanjiran pelarian jatuh” dan ia memberikan jumlah anggaran baru sebanyak 429,000 pelarian Rohingya melintasi sempadan sejak tentera Myanmar memulakan operasi besar-besaran di negeri Rakhine pada 25 Ogos lalu.

Tentera Bangladesh dan PBB tidak memberikan sebab mengapa kebanjiran pelarian baru itu jatuh mendadak.

Agensi PBB sebelum ini memberikan maklumat jumlah pelarian terbaru setiap hari tetapi kini berkata mereka akan mengeluarkan jumlah pelarian setiap Ahad.

“Tiada Rohingya yang melintasi sempadan kami sejak beberapa hari lalu,” kata Manzurul Hasan Khan, seorang lagi komander BGB yang anggotanya bertanggungjawab mengawal sempadan darat.

Ketua Umum Myanmar Aung San Suu Kyi berkata minggu ini yang tentera menghentikan “operasi pembersihan” yang mensasarkan militan Rohingya di kawasan sempadan.

Serangan militan ke atas pusat kawalan polis Myanmar pada 25 Ogos mencetuskan operasi ketenteraan yang disifatkan PBB sebagai “pembersihan etnik.”

Rohingya melintasi sempadan berkata mereka menyaksikan pembunuhan dan rogol besar-besaran dilakukan tentera dan militan Buddha di Myanmar. Dakwaan yang dinafikan tentera.

Amnesty International mengatakan mereka menilai tiga rakaman video baru yang diambil di dalam negeri Rakhine, video terbaru dirakam Jumaat lalu menunjukkan asap tebal di sebuah perkampungan Rohingya.

Minoriti tanpa negara itu sudah bertahun berdepan diskriminasi di negara majoriti Buddha itu.

Sebelum kebanjiran pelarian terbaru itu, Bangladesh sudahpun menerima hampir 300,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan sebelum ini. – AFP, 23 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen