Aktivis gesa kertas putih pertanian untuk elak ulang kesilapan


Mohd Farhan Darwis

Sektor padi beras negara turut bermasalah disebabkan pengurusan setiap aspek penanaman padi yang tidak tersusun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2019.

MALAYSIA tidak akan dapat membangunkan bidang pertanian untuk masa depan kalau kerajaan terus mengguna kaedah dan pendekatan lama untuk menyelesaikan masalah yang sama, kata sekumpulan aktivis pertanian.

Mereka menggesa kerajaan menghentikan cara lama, misalnya memberi peruntukan untuk program pertanian yang tidak membuahkan hasil, dan mula mencari cara baru dengan mengenal pasti kelemahan selama ini.

Sebagai langkah awal, Putrajaya harus membentangkan kertas putih pertanian negara untuk mengelakkan kesilapan sebelum ini daripada berulang, kata jurucakapnya Jes Izman Izaidin.

“Untuk selesaikan krisis pertanian, kita kena ada kertas putih daripada kerajaan. Keluarkan kad laporan. Apa jadi dengan semua duit yang sudah kita belanjakan. Itu hanyalah langkah pertama,” katanya, dalam satu wawancara di Shah Alam, baru-baru ini.

Jes Izman menyebut bagaimana kerajaan semasa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan berjuta-juta ringgit termasuk untuk projek penternak Pusat Fidlot Nasional (NFC), yang hari ini diakui gagal.

“Kegagalan itu perlu didiagnos, itu  langkah pertama sebelum kita dapatkan penyelesaian. Sekarang mereka macam main sorok-sorok, berjuta ringgit duit belanja, projek entah ke mana,” katanya.

Jelas beliau, dengan mengenal pasti dan mengakui kelemahan yang berlaku, kerajaan tidak akan cenderung untuk mengulangi kesilapan lampau.

Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (PADI Rescue) Fitri Amir Muhammad, turut setuju dengan cadangan kertas putih pertanian negara.

Beliau memberikan contoh bagaimana sektor padi beras negara turut bermasalah disebabkan pengurusan setiap aspek penanaman padi yang tidak tersusun.

“Saya sokong kalau nak buat Kertas Putih pertanian, termasuk untuk industri padi dan beras.

“Kami memang ada buat kertas kerja, berkenaan masalah berkaitan padi dan beras, malah sudah dibentangkan kepada kementerian,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Fitri Amir berkata antara masalah dalam bidang pertanian yang perlu ditangani segera oleh kerajaan ialah pengagihan subsidi yang dikatakan tidak dinikmati oleh petani tetapi peniaga.

“Kita perlu lihat adakah subsidi yang kerajaan berikan itu bermanfaat kepada pesawah atau ada berlakunya kebocoran,” katanya.

Bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin baru-baru ini menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai bidang pertanian dan menyifatkan pertanian adalah masa depan negara.

Beliau menggesa semua pihak memodenkan bidang pertanian sebagai jalan untuk mengurangkan kos import makanan dan bahan makananan ternakan, selain pergantungan pada pekerja asing.

Masalah dalam bidang pertanian yang perlu ditangani segera oleh kerajaan ialah pengagihan subsidi yang dikatakan tidak dinikmati oleh petani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2019.

Pertanian mendepani IR 4.0

Sementara itu, Jes Izman dan rakan-rakan mencadangkan Putrajaya supaya  membangunkan pangkalan data besar untuk memantau satu-satu produk pertanian dari ladang hingga ke pasaran.

Katanya, pemantauan menyeluruh itu boleh mengawal harga produk pertanian di pasar sekaligus mengelak berlakunya manipulasi harga oleh orang tengah.

“Kami cadangkan kerajaan buka bilik operasi pertanian yang mengawal semua proses pertanian di Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, isu pertanian tidak lagi boleh ditangani secara terpisah dan ad hoc, sebaliknya memerlukan wawasan penyelesaian jangka panjang.

Menurut Jes Izman, pihaknya sudah bertemu dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung cadangan mereka untuk merevolusikan sektor pertanian, yang menurutnya selari dengan Revolusi Industri (IR) 4.0.

“Kementerian kata mereka sudah bangunkan big data, tapi bagaimana pula dengan rantaian bekalan dan gudang? Itu kepakaran yang boleh kami kongsikan,” katanya.

Jes Izman juga berharap kerajaan mengubah cara berfikir dengan melihat sektor pertanian sebagai sebuah “kilang besar” yang lengkap dengan teknologi moden.

“Apabila kita sebut kilang, segala-galanya perlu selari, dari segi standard, prosedur dan macam-macam lagi. Barulah kita dapat atasi krisis makanan,” katanya.

Melalui kaedah itu, semua cadangan penanaman dapat dianalisis dan dibuat pemantauan ketat yang seterusnya akan menjamin kualiti hasil.

“Adakah ini idealistik? Ya, tetapi ia juga realistik dengan segala data yang kita ada,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight berkata, secara keseluruhannya, import makanan meningkat pada kadar 3.5% setahun bagi tempoh 2017 hingga 2018.

“Jumlah import makanan tertinggi adalah bijirin dan sediaan bijirin iaitu sebanyak RM7.09 bilion,” kata kementerian.

Statistik kementerian pada 2018 menunjukkan Malaysia mengimport sejumlah RM50.1 bilion bahan makanan berbanding eksport RM31.5 bilion.

Kementerian menjelaskan import bahan makanan itu perlu bagi menampung kekurangan pengeluaran tempatan dan memenuhi permintaan dalam negara terutama bagi bahan makanan yang tidak ekonomik untuk dihasilkan di Malaysia. – 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen