.jpg)
MENGURANGKAN sisa makanan dan mengurus sisa makanan adalah perkara yang berbeza. Namun kedua-duanya tidak akan menyelesaikan isu utama iaitu pembaziran makanan.
Pembaziran merupakan amalan yang ditegah agama Islam dan dilarang Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Barang siapa mengamalkan amalan boros atau membazir, maka dia adalah saudara syaitan, dan syaitan adalah makhluk yang sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isra, 27).
Perkara ini berlaku kerana strategi ekonomi yang ampuh untuk merancakkan pertumbuhan dan kemajuan negara, yang bergantung pada produk dan perkhidmatan, permintaan dan penawaran.
Akar permasalahan ini ialah “double size” atau “big size” yang diorientasikan dalam budaya masyarakat pengguna kini. Mari kita menerjah ke hotel, pusat membeli-belah, restoran, premis makanan segera, food truck, bazar, hatta dalam sosial budaya masyarakat, istilah “double size” atau “big size” ini sudah sebati dan sinonim dengan pengguna di Malaysia.
Jika hendak makan, istilah “double scoop”, “king kong size”, “tambah”, “big cup”, “borong”, “longgok”, “hidangan kambing golek” dan “hidangan tradisi ala kampung” di hotel, semuanya manifestasi amalan membazir, boros dan lahap ketika makan.
Laporan Sinar Harian hari ini menjelaskan bahawa makanan yang masih elok yang dibuang bertan-tan datang dari premis kediaman, bazar Ramadan dan bufet majlis berbuka puasa, dan hotel. Fakta 4,600 tan makanan yang masih elok dibuang harus dilihat sebagai punca masalah peningkatan kos sara hidup kini dan faktor ekonomi yang lain.
“Berapa banyakkah dosa yang telah dilakukan akibat terlalu kenyang dan makan dengan lahap. Berapa banyak pula pahala yang gugur kerananya. Sesiapa yang dapat mengawal dirinya dari kejahatan perutnya, maka sesungguhnya ia telah melindungi dirinya daripada kejahatan yang besar. Syaitan mempunyai pengaruh yang besar ke atas orang yang kenyang perutnya.” (Ibn Al-Qayyim).
Malangnya kita masih belum sedar, wujudnya masalah ini mengakibatkan pengguna menanggung kesan yang amat besar. Sampah sisa makanan yang dihasilkan pengguna di Malaysia sehari mencecah 16,500 tan sehari pada bulan Ramadan, atau 4,000 tan makanan yang belum disentuh dibazirkan sepanjang hari dibulan Ramadan.
Pada sisi lain pula pengguna berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi. Harga barang yang tinggi, kos untuk mendapatkan makanan yang mahal, kebergantungan negara kepada import makanan yang amat tinggi, iaitu mencecah berbilion ringgit setiap tahun.
Penyelesaian kepada perkara ini tidak pernah hadir. Kita masih bergelut dengan istilah penyelesaian untuk “mengurangkan” dan “menguruskan” pembaziran makanan sedangkan akar dan jiwa kepada masalah ini tidak pernah ditangani.
“Hentikan” atau “hapuskan” pembaziran tidak dilihat sebagai matlamat untuk mengatasi masalah ini. Hal ini tidak boleh dikompromi lagi. Amalan yang tidak baik seharusnya dihentikan, bukanya dikurangkan atau diuruskan dengan baik.
Pengguna dan rakyat menanggung kos yang tinggi, beban dari segi harga yang mahal, kos sara hidup yang meningkat, perbelanjaan dana rakyat yang double untuk “mengurus” dan “mengurangkan” pembaziran makanan.
Justeru itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar hentikan pembaziran makanan dalam buffet yang wujud di majlis dan hotel ketika Ramadan, perayaan dan musim kenduri-kendara. Mengurus dan mengurangkan pembaziran makanan tidak akan sama sekali menyelesaikan isu pembaziran makanan malah terlalu banyak sumber ekonomi yang terpaksa negara dan rakyat bazirkan.
Isu pembaziran makanan yang wujud kini merupakan satu jenayah yang dilakukan oleh masyarakat pengguna. Kita merompak makanan daripada orang miskin dan membuangnya. – 27 Mei, 2019
* Mohideen Abdul Kader, pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen