Inkues Adib ditangguh sehingga peguam baharu dilantik, kata koroner


Timothy Achariam

Penarikan diri Syazlin Mansor (kiri) juga bermakna keterangan saksi pakar Dr Shahrom Abd Wahid (kanan) juga terbatal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

INKUES bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak boleh diteruskan sehinggalah peguam bagi mewakili ketiga -tiga pihak berkepentingan dalam kes itu - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia dan keluarga Adib dilantik, kata Koroner Rofiah Mohamad.

Keputusan dibuat selepas Syazlin Mansor, peguam yang mewakili tiga pihak berkepentingan itu menarik diri daripada prosiding.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan alasan beliau menarik diri.

Syazlin memberitahu Koroner Rofiah, dengan penarikan dirinya itu, keterangan saksi pakar Dr Shahrom Abd Wahid juga terbatal.

Dr Shahrom yang merupakan bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia mendakwa kecederaan Adib adalah akibat ditarik dari van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan diserang.

Keterangannya itu bertentangan dengan keterangan dua saksi lain yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya.

Rofiah bertanya kepada Syazlin sama ada penarikan dirinya bermakna pihak yang diwakilinya juga akan menarik diri sebagai pihak berkepentingan.

Syazlin berkata ketiga-tiga pihak itu akan kekal sebagai pihak berkepentingan dan Pejabat Peguam Negara dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin akan melantik peguam baharu.

Rofiah kemudian berkata inkues tidak boleh diteruskan sehinggalah peguam baharu dilantik dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan kes. Pada tarikh itu juga Pejabat Peguam Negara dan KPKT perlu mengemukakan pegum baharu, tambah beliau.

Syazlin yang ditemui media selepas prosiding ditangguhkan enggan menjawab sebarang pertanyaan.

“Saya tak boleh komen, tanya menteri,” katanya secara ringkas ketika ditanya jika menerima tekanan supaya menarik diri.

Syazlin terlibat dalam inkues sejak prosiding bermula pada 11 Februari.

Inkues tersebut diadakan bagi menentukan bagaimana Adib mendapat kecederaan yang menyebabkan anggota bomba itu meninggal dunia 21 hari selepas dirawat di hospital susulan rusuhan kuil pada 27 November tahun lalu. – 27 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen