SEMBILAN penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan didakwa di mahkamah esok atas tuduhan terlibat menerima rasuah untuk melindungi pemandu lori yang melanggar undang-undang khususnya kesalahan membawa lebih muatan di sekitar negeri itu.
Mereka berdepan 162 pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana menerima suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan.
“Semua suspek dikatakan melindungi syarikat lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan.
The Malaysian Insight difahamkan mereka yang berumur antara 32 hingga 46 tahun itu didakwa menerima sogokan dari RM10,000 hingga RM32,000 sebulan sejak 2016.
Selain sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori terlibat, sogokan itu juga adalah untuk mereka membocorkan maklumat operasi JPJ.
Dalam pada itu, sumber memberitahu The Malaysian Insight, ada kemungkinan lebih ramai lagi suspek akan didakwa.
Sembilan yang akan didakwa esok adalah antara 79 individu yang ditahan dalam operasi SPRM bulan lalu, termasuk lapan orang awal yang bersubahat serta pemilik syarikat lori. – 27 Mei, 2019.
Komen