PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan jahil dan tidak sensitif apabila mahu mengadakan sesi rundingan awam di Sarawak sehari sebelum Hari Gawai, kata seorang Adun PKR.
Rundingan awam tersebut akan diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Jumaat ini.
Adun Batu Lintang See Chee How itu berkata PTPTN nampaknya tidak dengan sensitiviti masyarakat Dayak meraikan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baharu yang jatuh pada 1 Jun ini.
Masyarakat Dayak membentuk sekitar 53% populasi di Sarawak yang mempunyai 2 juta penduduk. Pada Hari Gawai Dayak, ribuan orang Dayak akan pulang ke rumah panjang untuk menyambut hari kebesaran mereka.
“PTPTN tidak sensitif dengan semua penduduk Sarawak kerana perayaan ini penting dan disambut oleh semua orang tidak mengira agama, bangsa atau latar belakang sosial,” kata See.
Beliau juga berkata PTPTN seolah-olah tidak faham dengan bentuk muka bumi Sarawak dan cabaran yang akan dihadapi penduduknya yang tinggal di kawasan luar bandar untuk menghadiri rundingan awam. Mereka ini kemudiannya terpaksa berpatah balik ke rumah panjang untuk sambutan pada malam Hari Gawai.
“Sarawak adalah negeri yang luas. Kami ada banyak cabaran dalam perjalanan di sini,” katanya, merujuk kepada perjalanan yang panjang dan sukar menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo yang masih belum siap serta bahaya apabila menaiki bot ekspres yang sering melebihi muatan dan bot panjang melalu anak sungai yang deras untuk pulang ke kampung.
Bagi yang tinggal di luar Kuching dan mahu menyertai rundingan awam itu, mereka juga akan menemui kesukaran dalma perjalanan sempena Hari Gawai.
“Boleh jadi sangat mahal dan sudah tentu mereka yang tinggal di luar kawasan sukar untuk mengatur perjalanan supaya dapat menyertai rundingan awam yang penting ini.”
See berharap PTPTN dapat menimbang semula dan memilih tarikh lain selepas Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri supaya lebih ramai orang dapat menyertai rundingan awam tersebut. – 27 Mei, 2019.
Komen