JPA cadang peraturan baharu penjawat awam berpolitik


SM Amin

Cadangan itu memberi dua pilihan kepada kerajaan iaitu melarang penjawat awam memegang sebarang jawatan dalam parti politik atau mengekalkan dasar yang terpakai sekarang, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2019.

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan usul kepada kerajaan untuk memperkenalkan peraturan baru melarang penjawat awam daripada terlibat secara langsung memegang jawatan dalam parti politik.

Cadangan itu memberi dua pilihan kepada kerajaan iaitu melarang penjawat awam memegang sebarang jawatan dalam parti politik atau mengekalkan dasar yang terpakai sekarang, kata sumber.

Dasar sekarang, yang dikuatkuasakan sejak tahun 1993, membenarkan hanya penjawat awam kumpulan pelaksana dan sokongan memegang jawatan dalam parti politik. Kelonggaran bagaimanapun diberikan kepada kumpulan pengurusan profesional perguruan.

The Malaysian Insight difahamkan cadangan itu masih dalam perbincangan pada peringkat jabatan sebelum diangkat ke peringkat Jabatan Perdana Menteri untuk dikemukakan bagi kelulusan Jemaah Menteri.

“JPA sedang mendapatkan ulasan daripada kementerian-kementerian dan agensi pusat yang berkaitan dengan urusan pengambilan dalam perkhidmatan awam terutamanya SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam),” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber yang maklum dengan proses cadangan peraturan baru ini juga berkata, selain Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), JPA sedang mendapatkan ulasan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

“Selepas selesai mendapat semua ulasan yang diperlukan, barulah kertas pertimbangan dihantar ke Bahagian Kabinet untuk dibentang dalam mesyuarat jemaah menteri. Bahagian Kabinet adalah setiausaha jemaah menteri,” katanya.

Menurut sumber, amalan lazimnya ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri membawa cadangan berkenaan ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang kemudian akan membuat keputusan atau menangguhkannya untuk kajian lanjut.

The Malaysian Insight juga difahamkan cadangan itu dibuat selepas kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan menunjukkan sikap kurang senang dengan penjawat awam terlibat aktif dalam politik.

Usul itu juga mengambil kira beberapa pelantikan pemimpin politik akar umbi untuk memegang jawatan kanan di kementerian, atas syor oleh menteri, kata sumber.

“Sekiranya kerajaan melarang penjawat awam memegang jawatan dalam politik, ia akan turut memberi kesan kepada penjawat awam berstatus kontrak yang diisi oleh ‘orang politik’,” tambah sumber.

Jelas sumber, berdasarkan pekeliling sedia ada yang diperkenalkan pada November 2018, hanya empat jawatan yang terbuka kepada lantikan politik di pejabat menteri dan timbalan menteri iaitu setiausaha sulit kanan (SUSK), setiausaha sulit (SUS), pegawai tugas-tugas khas (PTTK), dan setiausaha akhbar (SUA).

Bagaimanapun sumber menarik perhatian ada juga ketua unit komunikasi korporat (UKK) di kementerian yang dilantik dalam kalangan pemimpin parti yang berjawatan, sedangkan selama ini dilantik daripada pegawai dari Jabatan Penerangan.

“Jawatan ini selalunya diisi oleh pegawai dari jabatan penerangan tetapi amalan sekarang semua ketua UKK di kementerian adalah kontrak. 

“Secara ‘halusnya’ ketua UKK adalah pilihan menteri tetapi dilantik menggunakan perjawatan yang sedia ada di kementerian,” kata sumber.

Jelas sumber, sepatutnya pemimpin politik yang dilantik ke jawatan kanan di kementerian tidak lagi boleh terlibat memegang jawatan dalam parti politik.

Pada masa ini, penjawat awam dari kumpulan pelaksanaan dan guru dari Gred DG41 hingga DG48, selain pengetua dan guru besar, dibenarkan aktif dalam politik, namun perlu mendapatkan kebenaran daripada ketua setiausaha kementerian. – 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen