Tiada rancangan untuk cabar sesiapa berdebat, kata Najib


Looi Sue-Chern

Najib berkata setakat ini, pihaknya telah berjaya memperoleh "kemenangan moral yang besar" walaupun perdebatan itu tidak diteruskan. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 26 Mei, 2019.

SELEPAS rancangan perdebatan antara beliau dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang gagal menjadi kenyataan, bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau tidak memikirkan rancangan untuk berdebat dengan orang lain.

Walau bagaimanapun, Najib berkata beliau bersedia untuk mempertimbangkan jika ada orang yang mahu mencabar beliau untuk berdebat.

“Saya tidak mempunyai rancangan untuk berdebat di masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini.

“Saya akan terus mainkan peranan saya. Sekiranya ada orang lain yang mahu mencabar saya, saya akan pertimbangkan.”

Awal minggu lalu, Lim dan Najib bersetuju untuk berdebat mengenai bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi global, ia adalah topik yang dicadangkan veteran DAP tersebut.

Tetapi sehari kemudian, Lim memutuskan untuk tidak meneruskan niatnya, dengan mengatakan bahawa beliau telah dinasihati membatalkan rancangan itu kerana perdebatan itu mungkin berubah menjadi konflik di antara kaum Melayu dengan Cina.

Najib berkata setakat ini, pihaknya telah berjaya memperoleh “kemenangan moral yang besar” walaupun perdebatan itu tidak diteruskan.

“Kerana anda (Lim) yang tuntut dan cabar saya untuk debat tetapi anda yang undur diri. Ia menunjukkan bahawa anda tidak mempunyai keberanian moral untuk meneruskannya.

“Ini adalah kemenangan moral yang besar walaupun perdebatan tidak berlaku,” katanya.

Najib turut berkata Lim yang mengundurkan diri daripada perdebatan itu akan merasa kesan terhadap kredibiliti politiknya sendiri.

“Saya fikir ia akan beri kesan yang tak dapat dielakkan dalam minda rakyat terhadapnya sebagai seorang tokoh politik,” kata bekas pemimpin Umno dan Barisan Nasional itu.

Beliau mengulangi bahawa Lim kehilangan hak untuk menyerang beliau pada masa akan datang selepas veteran DAP itu enggan meneruskan perdebatan dengan beliau.

“Secara moral, dari segi politik, dia telah hilang banyak perkara. Dia sekarang tidak ada hak untuk tegur saya.

“Pada dasarnya, anda (Lim) sendiri menafikan (hak anda) untuk menyerang saya pada masa akan datang.” – 26 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen