Najib akui masih cuba fahami populariti 'bossku'


Looi Sue-Chern

Bekas perdana menteri Najib Razak melayan beberapa orang yang mahu mengambil gambarnya selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Umno Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 26 Mei, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mengakui beliau masih keliru dengan tahap perhatian yang diterima sejak kejatuhannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Najib yang menerima sambutan luar biasa ketika tiba di Pulau Pinang untuk bersahur, berkata beliau tidak menjangkakan kehadiran ramai orang yang mahu berjumpanya di warung nasi kandar Pokok Ketapang di Butterworth pada pukul 1 pagi hari ini.

“Saya masih cuba memahami sebab-sebab sambutan luar biasa yang saya terima, bukan hanya di Pulau Pinang tetapi juga di tempat lain,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Umno negeri hari ini.

“Ia adalah amat luar biasa jika rakyat berkumpul pada 1 pagi di bulan Ramadan untuk menunggu saya. Ada yang sampai lebih awal.

“Mereka sanggup berdiri untuk melihat saya makan. Bukan duduk, tetapi berdiri sambil melihat saya makan. Saya juga berasa pelik,” kata bekas presiden Umno itu.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai popularitinya yang semakin meningkat sebagai pembangkang, terutamanya dengan panggilan ‘bossku’ dan ramai orang mahu bertemunya tidak kira ke mana beliau pergi.

Kata Najib penampilannya sebagai orang biasa mungkin menjadi faktor menyumbang popularitinya meningkat.

“Hari ini saya tampil dengan gaya tidak rasmi dan mudah didekati, walaupun secara fizikal. Jadi rakyat lebih suka dengan pendekatan ini,” katanya.

“Rakyat menjadi pelindung saya, pengawal saya.”

Beliau disambut sejumlah penyokong di warung tersebut dan laungan ‘bossku’ kedengaran sebaik saja beliau keluar dari kereta. Malah ada yang menjerit ‘Hidup Bossku’. 

Orang ramai terus mengambil gambar dan video bekas perdana menteri itu ketika beliau memesan nasi kandar dan duduk bersama pemimpin Umno di sebuah meja. – 26 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen