China akan mengehadkan eksport minyak ke Korea Utara bermula 1 Oktober, kata kementerian perdagangannya, mengesahkan penyertaan Beijing dalam sekatan terbaru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap negara jirannya itu.
Majlis Keselamatan PBB, termasuk ahli kekalnya Beijing meluluskan sekatan terhadap Pyongyang minggu lalu susulan ujian nuklear kali keenam yang dilakukan negara itu, dan ia yang paling kuat.
Washington pada mulanya mendesak supaya sekatan minyak sepenuhnya dikenakan terhadap Pyongyang, tetapi kemudian menarik balik untuk mendapatkan sokongan Rusia dan China, satu-satunya sekutu Korea Utara dan juga rakan dagang utama.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman webnya semalam, kementerian itu mengulangi lagi syarat terbaru resolusi itu, menyatakan bermula 1 Oktober, negara ahli PBB tidak akan mengeksport lebih 500,000 tong minyak bersih kepada Korea Utara.
Pengumuman itu dibuat susulan ketegangan antara Presiden AS Donald Trump dan rejim pimpinan Kim Jong-Un semakin membimbangkan masyarakat antarabangsa.
AS menuduh China tidak melakukan sehabis baik untuk memberi tekanan kepada Pyongyang supaya tidak meneruskan program nuklearnya.
Kebanyakan minyak di Korea Utara dibawa dari China, tetapi berapa jumlah sebenar pengeksport gergasi Asia itu menghantarnya ke negara jirannya masih tidak diketahui, kerana Beijing tidak mendedahkan data itu sejak 2014.
Menurut data PBB, Beijing menghantar 6,000 sehari produk minyak ke Korea Utara pada 2016. – AFP, 23 September, 2017.
Komen