Tiada siapa suruh serang DAP, kata aktivis media Umno


SM Amin

Lim Kit Siang minggu ini mendakwa aktivis media sosial Umno melancarkan perang saraf siber ke atas DAP untuk menjatuhkan Pakatan Harapan kononnya atas arahan Najib Razak. – Gambar EPA, 26 Mei, 2019.

AKTIVIS media sosial Umno menyerang DAP dan Lim Kit Siang bukan atas arahan mana-mana pemimpin parti termasuk Najib Razak, kata mereka, sebaliknya berpunca daripada tindakan dan kenyataan pemimpin parti itu sendiri.

Aktivis media sosial itu juga menegaskan mereka menyerang DAP kerana parti itu terus mempertikaikan hak keistimewaan Melayu, dan bukannya kerana parti itu dikuasai kaum Cina.

Penulis blog Zakhir Mohamed berkata orang Melayu sifatnya bukan anti Cina tetapi akan bertindak balas apabila hak mereka dicabar dan cuba dihakis oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Najib tidak pernah beri arahan untuk serang DAP sekarang. Kalau Lim Kit Siang kena serang adalah disebabkan kelemahan dia sendiri, buat kenyataan cabar sana sini, mulut celupar sengaja bermain api,” katanya, yang lebih dikenali sebagai “Big Dog” kepada The Malaysian Insight.

“Orang Umno atau orang Melayu ini reaktif… bertindak bila ada isu, rasa diancam

“Kita lihat contoh isu matrikulasi yang dibangkitkan oleh menteri pelajaran, walaupun bukan menteri Umno tetapi orang Umno sokong sebab isu ini menjejaskan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Lim minggu ini mendakwa aktivis media sosial Umno melancarkan perang saraf siber ke atas DAP untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) kononnya atas arahan Najib.

Bekas perdana menteri dalam reaksinya di Facebook menafikan tuduhan Lim itu dengan sindiran sesiapa pun boleh buat tangkap layar kononnya menunjukkan perbincangan antara aktivis Umno di WhatsApp.

Penulis blog Zaharin Mohd Yassin, yang juga menafikan tuduhan Lim, berkata serangan terhadap DAP adalah disebabkan parti itu tonggak dalam PH.

“Najib tidak suruh pun kita buat. Kita memang serang DAP sebab parti itu tonggak PH.

“Kalau hendak serang Amanah buang masa, hendak serang Bersatu tidak ada apa makna, PKR pun tidak ada apa-apa yang penting. Kalau DAP tidak ada dalam PH, mereka akan kalah tidak boleh bentuk kerajaan,” katanya.

Menurut Zaharin, strategi menyerang DAP juga serangan serampang dua mata kerana ia akan menjejaskan sokongan Melayu kepada parti komponen lain dalam PH.

“PPBM (Bersatu), Amanah dan PKR akan kehilangan sokongan daripada orang Melayu.

“Ini telah berjaya pun. Orang Melayu sudah mula menjauhkan diri dengan Bersatu apabila melihat (Pengerusi Bersatu) Dr Mahathir Mohamad mengikut telunjuk DAP,” katanya.

Beberapa hari lalu Lim mendakwa ada perbincangan dalam WhatsApp kononnya arahan kepada aktivis media sosial Umni untuk menyerang DAP bagi menyelamatkan Najib daripada dipenjara.

Tuduhan Lim itu satu usaha mengalih perhatian daripada dikritik selepas tidak jadi berdebat dengan Najib, kata penuli Ab Jalil Backer.

Katanya, Lim nampak terdesak apabila menggunakan gambar pegun petikan perbualan di WhatsApp yang sudah beredar agak lama dan mengaitkannya dengan Najib.

“Gambar pegun tersebut bukan baru. Telah berlegar sejak bermingggu lalu. Namun Kit Siang perlu menggunakan semula bagi menyelamatkan dirinya.

“Sesiapa sahaja boleh mencipta kumpulan WhatsApp seperti itu. Malah ini merupakan kepakaran RBA (cybertrooper) DAP sejak dahulu,” kata Jalil.

Jelas beliau, Lim sepatutnya terima hakikat kemarahan dan kritikan terhadap kerajaan adalah sesuatu yang terlalu besar untuk dianggap sebagai gerakan yang dibuat-buat.

“Mustahil untuk Najib yang berhadapan pembekuan akaun, perampasan harta dan kehilangan rakan-rakan dalam dunia perniagaan, mampu membiayai apa-apa gerakan cybertrooper secara besar-besaran seperti dakwaan Kit Siang,” ujarnya. – 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen