Kepala surat pejabat pendidikan jemputan buka puasa Bersatu di Kelantan


SM Amin

Bersatu Kelantan didakwa mengeluarkan jemputan berbuka puasa menggunakan kepala surat Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2019.

JEMPUTAN ke majlis berbuka puasa Bersatu Kelantan dibuat dengan surat rasmi kerajaan menggunakan kepala surat Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah, mencetuskan bantahan pembangkang negeri.

Pemuda Umno Kelantan mendesak pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah menjelaskan segera bagaimana dan kenapa surat rasmi kementerian dipakai untuk acara parti.

Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor berkata tindakan itu bertentangan dengan saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mahukan penjawat awam bebas daripada unsur-unsur kepartian.

“Adakah ini praktis terbaru kerajaan Malaysia Baharu ataupun satu perangai membodek daripada PPD terhadap menteri pendidikan bagi menaikkan KPI (Indeks Prestasi Utama) PPD terbabit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas sepucuk surat dari PPD Tanah Merah menjemput pengetua dan guru besar seluruh sekolah di daerah itu untuk menghadiri majlis berbuka puasa Bersatu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 pada 22 Mei lalu.

The Malaysian Insight bagaimanapun difahamkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tidak terlibat dengan penganjuran majlis berbuka puasa itu dan tidak juga berada di Kelantan pada tarikh berkenaan.

“Pemuda Umno menuntut jawapan daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan PPD Tanah Merah perihal surat begini kerana ia mencemarkan institusi penjawat awam yang perlu bebas daripada unsur-unsur parti seperti yang dikehendaki oleh YAB Perdana Menteri,” katanya.

PPD Tanah Merah setakat ini belum lagi memberi maklum balas berkenaan isu surat itu.

Menurut Hariri, pihaknya tidak ada masalah sekiranya penjawat awam dijemput ke program parti politik namun mempertikaikan penggunaan kepala surat rasmi jabatan untuk surat jemputan.

“Tidak pernah jadi amalan kerajaan sebelum ini buat jemputan ke majlis parti politik melalui surat daripada jabatan.

“Kalau dulu penjawat awam hadir majlis parti atas kerelaan sendiri tanpa surat wajib hadir dari jabatan melainkan ia melibatkan kehadiran program bersama menteri,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong juga membangkitkan isu sama melalui Facebook dan meminta Maszlee memberi penjelasan.

“Apa cerita ni YB Menteri? Wakil rakyat pembangkang tak boleh tetapi parti YB Menteri ‘dibentang karpet merah’? Adakah ini yang dikatakan ‘Malaysia Baru’?

“Bukankah selama ini para pemimpin Pakatan Harapan termasuk YB Lim Guan Eng serta konco-konconya sering melaung-laungkan slogan “pendidikan mestilah dipisahkan dengan politik”?” katanya, yang juga bekas timbalan menteri pendidikan. – 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen