Peminjam cadang PTPTN laksana model ‘Tabung Harapan’


Looi Sue-Chern

PTPTN sedang melakukan jelajah seluruh negara bagi mengumpul maklum balas terhadap 10 idea dicadangkan agensi tersebut hasil perbincangan meja bulat dengan pelbagai agensi bagi mengatasi masalah mendapatkan kembali pinjaman. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 26 Mei, 2019.

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajar mempertimbangkan menggunakan kaedah ala Tabung Harapan untuk menyelesaikan hutangnya yang kini mencecah RM40 bilion.

Cadangan itu adalah antara hasil rundingan awam dilakukan Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN semalam di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Seorang peminjam PTPTN yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal berkata, model Tabung Harapan boleh memastikan dana pendidikan itu mempunyai biaya mencukupi untuk memberikan pinjamana.

“Ada syarikat yang boleh derma kepada PTPTN untuk menyokong usahanya membantu pelajar melanjutkan pengajian tinggi.

“Skim untuk syarikat boleh diperkenalkan. Ada negara yang buat begini,” katanya lagi.

Tabung Harapan Malaysia adalah kaedah jana dana awam dilakukan Pakatan Harapan pada 30 Mei tahun lepas, tidak lama selepas merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Orang awam dan syarikat boleh menderma untuk dana tersebut bagi membantu kerajaan membayar hutang negara mencecah RM1 trilion legasi pentadbiran terdahulu. Tabung itu ditutup pada 14 Januari tahun ini dengan kutipan mencecah RM202.7 juta.

PTPTN sedang melakukan jelajah seluruh negara bagi mengumpul maklum balas terhadap 10 idea dicadangkan agensi tersebut hasil perbincangan meja bulat dengan pelbagai agensi bagi mengatasi masalah mendapatkan kembali pinjaman.

Ia mengadakan rundingan awam pertama di Universiti Malaya minggu lepas.

Pada sesi keduanya di Pulau Pinang semalam, Pengerusi Panel Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata idea tabung tersebut adalah baik, kerana syarikat boleh menjadikannya sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Mereka boleh dapat pengecualian cukai. Kami akan bawa perkara ini kepada PTPTN,” katanya.

Tiada lagi pengecualian bayaran untuk pelajar cemerlang

Salah seorang daripada antara 50 orang yang hadir pada sesi semalam, Akmal juga menyokong idea memansuhkan pengecualian bayaran untuk pelajar yang menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama.

Salah satu daripada 10 idea asal panel adalah memansuhkan pengecualian bayaran untuk graduan kelas pertama atau menggantikannya dengan bayaran separuh.

Pada masa sekarang, peminjam yang berjaya menamatkan pengajian kelas pertama boleh memohon untuk pengecualian penuh pinjaman PTPTN.

Cadangan Akmal itu turut disokong oleh pelajar Universiti Teknologi Petronas, Calvin yang berkata program tersebut tidak adil kerana wujud perbezaan kesukaran bidang.

“Malah dalam bidang kejuruteraan pun, ada kursus yang lebih sukar berbanding yang lain. Mungkin lebih mudah untuk sesetengah pelajar dapat kelas pertama kerana itu (bidang berbeza).

“Ia tidak adil. Memansuhkan pengecualian adalah idea yang baik,” katanya.

Sheikh Shahruddin berkata pengecualian bayaran adalah antara isu utama dibangkitkan pada sesi meja bulat PTPTN dengan pihak berkepentingan.

Bantahan itu wujud kerana kepercayaan lebih mudah pelajar institusi tertentu mendapat kelas pertama, dan graduan kelas pertama lebih tinggi peluang mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan, membolehkan mereka membayar PTPTN.

Statistik PTPTN juga mendapati pengecualian tidak banyak memberi manfaat kepada peminjam kumpulan B40, kerana hanya 35% pemegang kelas pertama berasal daripada kumpulan tersisih ekonomi itu.

Pilihan yang lebih fleksibel

Sementara itu, Pembantu Pengurus KDU Penang University College Shuhad Ismail yang menguruskan pinjaman pelajar, berkata tempoh senggang 12 bulan yang diberikan kepada semua peminjam sebelum dihendaki membayar pinajam tidak seharusnya ditawarkan.

“Sekarang sangat mudah. Selepas setahun, semua orang ambil mudah. Tempoh senggang perlu jadi pilihan, bukan untuk semua orang.”

Sebelum itu, seorang pelajar USM yang hanya memberikan namanya sebagai Tan, juga mencadangkan tempoh senggah bayaran ditambah baik dan hanya diberikan “sekiranya diminta”.

Katanya, ada sebilangan peminjam yang boleh mula membayar lebih cepat berbanding yang lain.

“Jika semua orang dapat tempoh senggang, semua orang akan relax dan ramai tak akan bayar balik pinjaman mereka.”

Kawannya yang mahu dikenali sebagai Choong juga dari USM, pula berkata kadar ujrah 1% dikenakan PTPTN terlalu rendah, dan mencadangkan sistem kadar lebih progresif bergantung kepada jumlah tahun peminjam bekerja.

“Mereka yang bekerja lima hingga sepuluh tahun patutnya boleh bayar lebih,” katanya, mengulas idea untuk meningkatkan ujrah 1% kepada peminjam baharu.

Bagaimanapun, Akmal membantah cadangan tersebut demi kepentingan peminjam B40.

“Saya peminjam B40 latar belakang miskin bandar. 1% pun sukar untuk keluarga miskin.

“Saya ambil masa 11 tahun untuk bayar PTPTN. Saya boleh selesaikan semuanya tahun depan. Mula-mula saya bayar, saya hadapi kesukaran.

“Jika ujrah mahu dinaikkan, ia perlu dibuat ketika ekonomi makin baik,” katanya. – 26 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen