PTPTN digesa jangan terlalu 'beri muka' kepada peminjam


Looi Sue-Chern

Sebahagian pelajar yang hadir semasa semasa rundingan awam di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang anjuran Panel Penasihat Bebas Konsultasi Awam PTPTN. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 26 Mei, 2019.

MEMANDANGKAN bebanan hutang besar yang ditanggung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sudah tiba masanya ia bertegas dengan para peminjam culas, kata pihak berkepentingan semasa pendengaran awam mengenai cara untuk memastikan golongan ini melunaskan bayaran.

PTPTN kini sedang mengadakan jerayawara dengan mengadakan sesi rundingan pihak berkepentingan di pelbagai negeri dan ingin mendengar daripada orang lain, selain para pelajar, mengenai cara menangani golongan culas sehingga menyebabkan hutang semasa dana sebanyak RM40 bilion.

Menjelang 2040, angka ini dijangka bertambah kepada RM76 bilion, sekali gus bagi menjejaskan peluang pelajar seterusnya untuk mendapatkan pinjaman daripada dana itu.

Pada sesi pihak kepentingan di Pulau Pinang semalam, seorang pegawai agensi pengambilan dan latihan pekerja berkata PTPTN sepatutnya berhenti bersikap “terlalu baik hati” apabila memberikan pinjaman kepada pelajar, memandangkan hutangnya yang tinggi disebabkan kegagalan peminjam membayar balik.

Michael Heah, ketua pegawai eksekutif InterManpower.com Sdn Bhd, berkata perbadanan itu memerlukan dasar “sangat ketat” untuk mengutip balik bayaran.

“Peminjam tidak memahami betapa besarnya hutang (yang ditanggung oleh PTPTN), yang boleh menjejaskan kerajaan.

“Hutang skandal 1MDB (Skandal 1Malaysia Development Bhd) RM38 bilion. PTPTN RM40 bilion,” katanya semasa rundingan awam di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.

Heah adalah antara 50 orang, yang sebahagian besarnya pelajar, menghadiri sesi kedua anjuran Panel Penasihat Bebas Konsultasi Awam PTPTN.

Ia adalah rundingan pihak berkepentingan kedua selepas yang pertama diadakan di Universiti Malaya minggu lepas, yang mengkaji semula 10 cadangan untuk mendapatkan bayaran balik pinjaman.

Di USM, beberapa orang menyuarakan sokongan mereka terhadap beberapa langkah yang dicadangkan tetapi pada masa sama mengkritik yang lain.

Heah menyokong cadangan memerlukan bayaran balik pinjaman dipotong oleh majikan sebelum gaji dibayar kepada peminjam. Ini seperti potongan bulanan berjadual yang dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Anda memerlukan dasar yang sangat ketat seperti itu. Peminjam mempunyai wang tetapi mereka tidak mahu membayar.

“Anda perlu melakukannya, anda tidak terlalu baik hati,” katanya, sambil menambah majikan juga mahu pekerja membayar balik hutang mereka secara bertanggungjawab.

Menjelang 2040, hutang PTPTN dijangka bertambah kepada RM76 bilion, sekali gus menjejaskan peluang pelajar akan datang untuk mendapatkan pinjaman daripada dana itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2019.

Beri pinjaman secara selektif

Heah juga berkata PTPTN harus lebih selektif dalam memberi pinjaman untuk mengelakkan lebihan graduan dalam ijazah tertentu.

Lebihan graduan dalam bidang kerja tertentu akan menyebabkan ramai tidak mampu membayar pinjaman pelajar mereka.

“Terdapat banyak pemegang ijazah yang bekerja sebagai operator kilang di Bayan Lepas (taman perindustrian). Saya juga baru-baru ini bertemu seorang doktor (perubatan) memandu untuk Grab.

“Terdapat juga banyak pelajar yang memilih untuk tidak bekerja di bidang yang mereka belajar. Pinjaman pelajaran mereka akan menjadi sia-sia,” kata Heah.

Heah berkata PTPTN juga perlu mengurangkan pinjaman kepada pelajar yang mengambil kursus “tidak relevan” dengan permintaan pasaran kerja.

Beliau berkata, permintaan sekarang tertumpu kepada graduan dengan kemahiran teknikal, kerana kerajaan kini berbicara mengenai Revolusi Perindustrian 4.0 dan analitis data besar.

Heah juga menasihatkan para pelajar mempertimbangkan untuk belajar secara sambilan ketika bekerja jika mereka gagal mendapat kursus yang diingini kerana ia akan membantu menampung diri mereka. – 26 Mei, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen