TIDAK ada tanda Sarawak akan mengubah dasarnya untuk melarang ahli-ahli politik dan aktivis dari semenanjung yang dianggap sebagai pengacau, daripada memasuki negeri ini.
Organisasi pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 cawangan Sarawak awal minggu ini menuntut Ketua Menteri Abang Johari Openg menghapuskan apa yang digambarkan sebagai “larangan masuk ke atas aktivis politik” ke negeri itu selepas bekas ketua jawatankuasanya, Mandeep Singh, dinafikan daripada memasuki negara itu .
Mandeep, yang kini merupakan pegawai khas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, disenarai hitam pada tahun 2016 susulan kegiatan dan aktivismenya bersama Bersih 2.0.
Beliau melakukan perjalanan bersama Gobind awal minggu ini untuk sambutan sebelum Hari Gawai di rumah panjang di pinggir bandar negeri minyak dan gas, namun pegawai imigresen di lapangan terbang menghentikan beliau dan memberitahu bahawa dia tidak dibenarkan masuk.
Mandeep hanya dibenarkan memasuki negeri itu selepas membuat rayuan untuk pengecualian khas yang memberikan keizinan kepadanya secara sementara “bagi tujuan rasmi kerajaan persekutuan” selama tiga hari.
Bersih 2.0 turut menuntut penghapusan larangan kemasukan ke atas pengerusinya, Thomas Fann, dan dua bekas pengerusinya Maria Chin dan Ambiga Sreenevasan, penganalisis politik Wong Chin Huat dan juga Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Jerald Joseph, selain aktivis-aktivis lain.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa permintaan itu merupakan satu perkara yang mementingkan diri sendiri, selain menyifatkannya dicemari politik dan percubaan untuk menghapuskan salah satu daripada beberapa hak negeri yang masih wujud.
“Bersih mesti bersikap tidak berpihak dalam politik dan tidak membiarkan dirinya dalam percubaan menghapuskan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Karim.
Hak ke atas imigresen dan hak masuk ke negeri itu adalah milik Sarawak dan “akan terus seperti itu,” katanya.
“Jangan gunakan jubah Bersih untuk menjejaskan kesatuan sosial, toleransi dan kefahaman yang telah wujud berkembang di Sarawak selama bertahun-tahun, dengan politik gaya Malaya.”
Sarawak dan Sabah mempunyai autonomi sepenuhnya ke atas imigresen sebagai sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika pembentukan Malaysia.
Tetapi pengkritik, seperti Bersih, berkata autonomi adalah untuk melindungi penduduk negeri daripada persaingan ekonomi dari rakyat Malaysia dari negeri-negeri lain dan bukan untuk melindunginya daripada ahli politik atau parti politik di negeri-negeri yang ada daripada persaingan.
Koordinator Bersih Sarawak, Anne Teo, berkata pengharaman Mandeep dan aktivis-lain lain, atas sebab itu, adalah “satu tindakan penyalahgunaan kuasa, menyalahi undang-undang secara terang-terangan” yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak.
Sarawak jarang mengulas mengenai larangan itu namun satu sumber pentadbiran pernah memberitahu The Malaysian Insight bahawa terdapat kira-kira 200 nama wujud dalam senarai hitam tersebut.
Mereka termasuklah bakal Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; anaknya Nurul Izzah; veteran DAP Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraidah Kamaruddin; Menteri Industri Utama Teresa Kok; pendakwah Islam Ridhuan Tee Abdullah; pemimpin Melayu berhaluan kanan Ibrahim Ali; pemimpin Umno Jamal Yunos; pemimpin Hindraf yang kini merupakan menteri P. Waytha Moorthy; dan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
Dengan perubahan pentadbiran kerajaan di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Sarawak memberikan pengecualian kepada mereka yang dilantik ke kabinet persekutuan.
Ia juga turut memberikan pengecualian sementara berdasarkan kes.
“Sekali dalam senarai, kekal dalam senarai.
“Tak ada siapa lagi yang sudah dinyah senarai,” kata sumber tersebut.
Ketua Menteri Sarawak sebelum Abang Johari, Adenan Satem, berjanji pada Disember 2015 untuk mengkaji semula larangan masuk tersebut.
Namun, beliau tidak sempat melakukannya apabila meninggal dunia pada Januari 2017. – 26 Mei, 2019.
Komen