TIMBALAN junta tentera Thailand menuduh tiga anggota polis membantu bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra melarikan diri daripada negara itu bulan lepas, kejadian yang menggemparkan negara itu.
Kerajaan pimpinan Yingluck ditumbangkan tentera pada 2014 dan pemimpin itu tidak dapat dikesan sejak 25 Ogos lalu apabila dia gagal hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan bicara jenayahnya.
Junta Thailand berkata mereka tidak menyedari rancangannya untuk melarikan diri- sesuatu yang sukar dipercayai ramai rakyat Thailand memandangkan pemantauan penuh ke atas Yingluck dilakukan.
Penganalisis berkata bekas pemimpin itu yang berdepan hukuman penjara panjang mungkin melakukan perjanjian rahsia dengan junta untuk melarikan diri dari negara itu.
Tetapi tentera menafikan dakwaan itu dan kini menyalahkan pasukan polis.
Pihak berkuasa menyoal siasat tiga anggota polis minggu ini selepas merampas sebuah kereta yang didakwa digunakan Yingluck ke sempadan Kemboja. Dari situ, dia dipercayai melarikan diri ke negara ketiga.
“Mereka kata mereka terima arahan (untuk bantu dia melarikan diri),” kata Prawit Wongsuwon, pemimpin junta kedua tertinggi pada Jumaat lalu.
Prawit enggan menjelaskan siapa dalang rancangan itu.
“Saya tak akan beritahu media tetapi orang yang beri arahan berada di Thailand,” katanya menambah yang Yingluck besar kemungkinan tidak mengunakan pintu kawalan sempadan rasmi untuk ke Kemboja.
Awal minggu ini, timbalan ketua polis negara itu berkata tiga anggota itu terlibat dalam rancangan Yingluck melarikan diri tetapi tidak akan didakwa kerana tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap Yingluck ketika itu.
Pengkritik mendesak pihak berkuasa mengeluarkan bukti kukuh seperti gambar atau rakaman CCTV untuk menyokong dakwaan itu.
Yingluck sehingga kini masih tidak dapat dikesan tetapi wujud khabar angin yang dia menyertai abangnya, Thaksin yang juga ditumbangkan melalui rampasan kuasa 2006 di Dubai.
Adik beradik itu terkenal dalam kalangan rakyat miskin dan mendominasi pilihan raya negara itu berdekad lamanya.
Tetapi mereka dibenci kumpulan elit dan tentera negara itu yang menentang dinasti Shinawatra dengan pelbagai protes, rampasan kuasa dan keputusan mahkamah.
Junta yang merampas kuasa pada 2014 berulang kali menangguhkan proses mengembalikan demokrasi di negara itu, dan semakin terdesak mengelak sebarang kejadian yang boleh menggugat kuasanya.
Penganalisis berkata jeneral bimbang yang memenjarakan Yingluck boleh mencetuskan protes besar-besaran rakyat yang masih setia menyokongnya.
Mahkamah Agung akan memberi penghakiman kes Yingluck pada 27 September depan. – AFP, 23 September, 2017.
Komen