SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menitahkan beberapa pemimpin parti politik di negeri ini untuk menghadap baginda susulan dakwaan segelintir pihak menggunakan masjid dan surau untuk aktiviti parti.
Antara pemimpin parti daripada Pakatan Harapan yang hadir ialah Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Perak; Pengerusi Parti Amanah negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR negeri , Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Menurut Anggota Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini pertemuan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Istana akan mengeluarkan kenyataan berhubung pertemuan itu esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Baru-baru ini Wanita Umno dan Muslimat PAS Lumut dilapor mengadakan program di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar, manakala Pemuda Umno di Masjid Al-Khairiah Kampung Banjar, Teluk Intan.
Selain itu, Surau Klebang Prima turut dilapor digunakan dengan memaparkan kain rentang tertera logo Umno dan PAS, manakala pemimpin utama PAS dibawa ke Surau Al-Ittihad, Kampung Temiang. – Bernama, 25 Mei, 2019.
Komen