2 lagi diberkas kes polis rompak pengurup wang 


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS menahan dua lagi suspek dalam kes rompakan melibatkan pegawai pasukan itu yang didakwa mengaut RM200,000 daripada seorang pengurup wang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata peniaga berusia 29 dan 32 tahun itu ditahan pada Khamis hasil siasatan ke atas sembilan suspek yang ditahan lebih awal.

“Dua tangkapan terbaru direman hingga hari ini. Permohonan menyambung reman ke atas mereka sedang dilakukan.

“Dua suspek itu menyerah diri kepada polis selepas diarah untuk berbuat demikian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, pasukan itu juga berjaya melanjutkan tempoh tahanan reman selama empat hari lagi ke atas seorang pegawai dan lima anggota polis yang ditahan dalam kes tersebut.

Tempoh reman ke atas enam suspek tersebut akan berakhir pada Isnin dan reman ke atas baki lima lagi suspek berakhir esok.

Ketika ditanya Mohd Fahmi berkata, kesemua anggota yang didakwa terlibat masih belum digantung kerja kerana tindakan dalaman hanya boleh diambil selepas siasatan kes selesai.

“Mereka belum digantung kerja mahupun diambil tindakan tatatertib. Kena tunggu siasatan dan reman selesai,” katanya.

Katanya, tujuh orang anggota dan pegawai itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim pada Rabu lalu mengesahkan dua orang pegawai yang ditahan berpangkat inspektor dari Maktab Teknik PDRM Muar dan IPD Petaling Jaya.

Lima lagi merupakan terdiri daripada tiga anggota polis dari Balai Polis Sea Park, seorang anggota dari IPD Petaling Jaya dan seorang lagi dari Balai Trafik Jalan Bandar.

Empat suspek orang awam pula termasuk seorang kakitangan Bank Negara ditahan kerana disyaki bersubahat dengan jenayah itu. 

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang menyatakan rasa terkejut dengan kejadian itu pula berjanji akan menenakan tindakan tegas ke atas anggota dan pegawai terlibat. – 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen