Salakan anjing bawa penemuan bayi dalam tong sampah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Anjing mempunyai deria yang sangat sensitif dan binatang itu sering digunakan bagi mengesan sesuatu selain menjadi teman baik manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2019.

SALAKAN anjing pengawal membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki dalam tong sampah di Pandan Indah dalam kejadian pagi ini 

Menurut polis, bayi yang baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan dalam tong sampah di satu tapak pembinaan 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya  Mohd Zaid Hassan berkata bayi yang masih bertali pusat ditemui berbalut tuala kira-kira jam 6.50 pagi.

Anjing pengawal itu menyalak semasa berada berdekatan tong dan lelaki berkenaan kemudian terdengar tangisan bayi dari dalam tong sampah.

“Lelaki itu kemudiannya memaklumkan penemuan bayi itu kepada polis. Bayi itu dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan.

“Bayi berkenaan dalam keadaan baik dan ditempatkan di Wad NICU. Tiada sebarang kecederaan ditemui pada bahagian anggota badan bayi,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Zaid berkata, semakan juga telah dibuat di hospital dan klinik berhampiran untuk mengesan ibu bayi tersebut 

“Kami memohon mana- mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. – 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen