AGENSI antirasuah berjaya merampas semua dokumen bagi membantu siasatan kes penyelewengan berjumlah RM135 juta untuk kontrak pembelian kereta perisai.
The Malaysian Insight difahamkan dokumen berkenaan dirampas dalam siri serbuan ke atas syarikat Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) sejak 15 Mei.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pasukan penyiasat mengunjungi pejabat itu semula hari ini bagi mengambil dokumen yang diperlukan.
“Setakat ini, lebih 50 kotak dokumen sudah dirampas bagi membantu siasatan pembelian kereta perisai Deftech AV8 Gempita bernilai RM7.5 bilion dan ACV-300 bernilai RM150 juta.
“Antara dokumen yang dirampas adalah invois pembelian, senarai vendor, perjanjian jual beli, rekod pembayaran dan keputusan berkaitan pembelian,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut sumber, kerjasama penuh daripada pegawai Deftech dan syarikat induknya DRB Hicom Bhd memudahkan kerja SPRM untuk dapatkan dokumen berkaitan.
Empat individu ditahan bagi siasatan setakat ini, termasuk ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai kewangan Deftech bagi siasatan kes penyelewengan tersebut.
Dua individu lain yang turut menjadi fokus siasatan adalah bekas ketua pegawai eksekutif Deftech dan seorang pemilik syarikat kontraktornya.
Penahanan mereka dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009.
The Malaysian Insight difahamkan sogokan yang disiasat mencecah RM135 juta bagi mendapatkan projek pembekalan peralatan kenderaan angkatan tentera bernilai lebih RM7.5 bilion.
Hasil siasatan SPRM setakat ini mendapati jumlah suapan itu diseleweng daripada peruntukan projek daripada kerajaan untuk membeli kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 bilion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta, yang dianugerahkan antara 2014 sehingga 2017. – 24 Mei, 2019.
Komen