Selepas kemalangan, keluarga mahu Anwar dibawa ke hospital


Amin Iskandar

SELEPAS terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam, keluarga Anwar Ibrahim mahu beliau dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Puteri sulongnya, Nurul Izzah Anwar berkata, kemalangan semalam menyebabkan bapanya disuntik ubat tahan sakit.

“Keluarga mahukan Anwar dibawa ke hospital untuk diberikan pemeriksaan yang diperlukan,” kata Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai kepada The Malaysian Insight.

“Kami mohon jasa baik pihak berkuasa seperti Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri dan Putrajaya untuk mempertimbangkan permohonan ini.”

Semalam kenderaan yang membawa Anwar kembali ke penjara Sungai Buloh terbabit dalam kemalangan sekitar jam 12.30 tengahari.

Anwar bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius namun akan menjalani pemeriksaan oleh Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Jeyaindran Sinnathurai, kata peguamnya R Sivarasa dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Sivarasa, kemalangan berkenaan berlaku persimpangan lampu isyarat berdekatan Saujana Utama ketika konvoi itu membawa Anwar kembali ke Penjara Sungai Buloh dari Hospital Kuala Lumpur.

“Pegawai penjara yang memandu kenderaan yang membawa Anwar terpaksa menghentikan kenderaan secara mengejut untuk mengelakkan kenderaan dari arah bertentangan namun kereta pengiring di belakang merempuhnya. Kenderaan yang membawa Anwar mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang,” kata Sivarasa.

“Syukur Anwar tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal yang serius namun agak terkejut dan telah diberikan ubat tahan sakit selepas dirawat oleh doktor di Penjara Sungai Buloh.

“Dr Jeyaindran Sinnathurai dijadualkan untuk berjumpanya pada jam 5 petang hari dan akan membuat keputusan selepas pemeriksaan itu sama ada Anwar perlukan rawatan lanjut di hospital.” – 23 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen