KIRA-KIRA 70,000 diarahkan keluar dari rumah masing-masing semalam selepas empangan di Puerto Rico yang ditenggelami air akibat serangan taufan Maria, gagal berfungsi.
Dengan jumlah kematian kerana taufan itu mencecah 33 orang di seluruh Caribbean, pejabat Perkhidmatan Cuaca Negara di San Juan mengeluarkan amaran banjir kilat bagi penduduk di sepanjang Sungai Guajataca di barat daya pulau berkenaan dan berkata empangan yang dibina pada 1920-an mungkin runtuh.
“Semua kawasan berhampiran Sungai Guajataca perlu dikosongkan sekarang, mereka dalam bahaya,” kata perkhidmatan cuaca menerusi Twitter. Katanya, banjir sudah bermula di kawasan hilir sungai.
Gabenor Ricardo Rossello turut mengeluarkan perintah keluar kepada kira-kira 70,000 orang yang tinggal di kawasan itu.
Puerto Rico kini berdepan bahaya banjir selepas taufan Maria membadai pulau itu Rabu lalu. Pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang terperangkap.
Rossello berkata taufan Maria yang paling buruk pada abad ini selepas ia memusnahkan infrastruktur elektrik dan telekomunikasi wilayah Amerika Syarikat itu.
Katanya, pulau itu sedang mengalami masalah komunikasi dan penilaian awal pada masa ini mendapati ada 13 kematian.
Pusat Taufan Negara berkata sesetengah bahagian di Puerto Rico akan dinaiki banjir melebih semeter akibat hujan dibawa taufan Maria, dengan ancaman tanah runtuh.
Setakat ini, taufan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 33 kematian, termasuk 15 di Dominica, Haiti (tiga) dan dua di Guadeloupe. – AFP, 23 September, 2017.
Komen