Aktivis pembangkang Syria dibunuh di Istanbul


Turki menjadi rumah bagi hampir tiga juta pelarian Syria, dengan kebanyakannya pembangkang rejim Presiden Bashar al-Assad, sejak tercetusnya perang saudara pada 2011. – Gambar AFP, 23 September, 2017.

SEORANG veteran aktivis pembangkang Syria dan anak perempuannya yang juga seorang wartawan ditemui mati ditikam di pangsapuri mereka di Istanbul, lapor media Turki, dengan ramai mendakwa ia perbuatan “pembunuh upahan”.

Rakan mangsa mulai bimbang selepas tidak dapat menghubungi Aroubeh Barakat dan anaknya, Halla Barakat menerusi telefon selama dua hari, lapor agensi berita Dogan dan Anadolu.

Polis Turki kemudian tiba di pangsapuri mereka di daerah Uskudar di bahagian Asia Istanbul dan kedua-dua wanita itu didapati sudah meninggal dunia.

Anadolu berkata siasatan polis mendapati mereka ditikam sehingga mati. Laporan yang belum disahkan berkata leher mereka dikelar.

Media Hurriyet berkata siasatan forensik percaya mereka dibunuh dua atau tiga hari lalu dan penyerang mencurahkan air liau di atas mayat dan membungkus mereka dengan selimut bagi mengelak bau busuk.

Sejak tercetusnya perang saudara Syria pada 2011, Turki menjadi rumah bagi hampir tiga juta pelarian Syria, dengan kebanyakannya pembangkang rejim Presiden Bashar al-Assad. – AFP, 23 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen