BOM buatan Amerika Syarikat digunakan dalam serangan udara di Sana’a, Yaman pada bulan lalu yang menyebabkan 16 orang awam terbunuh termasuk tujuh kanak-kanak dan menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu, kata Amnesty International pada Jumaat.
Kumpulan pemerhati hak asasi manusia itu berkata, pakar senjata mereka menganalisis serpihan bom yang ditemui di Sana’a dan mendapati ia adalah komponen yang biasanya digunakan dalam bom udara berpandukan laser buatan Amerika Syarikat.
“Kini kita boleh membuat kesimpulan untuk mengatakan bom yang membunuh ibu bapa dan adik beradik Buthaina, dan orang awam lain adalah buatan Amerika Syariikat,” kata pengarah penyelidik Amnesty Timur Tengah Lyn Maalouf.
Beliau merujuk kepada kanak-kanak yang terselamat dalam serangan itu Buthaina mansur yang turut kehilangan kedua ibu bapa dan lima adik beradiknya akibat serangan bom terbabit. Gambar kanak-kanak itu diselamatkan menjadi viral.
17 orang juga dilaporkan cedera dalam serangan udara pada 25 Ogos itu yang memusnahkan dua bangunan apartmen di kawasan kejiranan selatan Sana’a, Faj Attan.
Pakatan yang diketuai Arab Saudi itu menyertai peperangan di Yaman pada 2015 sebagai sokongan kepada kerajaan yang menentang pemberontak Houthi, yang menawan Sana’a sejak sekian lama.
Menurut Unicef, sekurang-kurangnya 1,712 daripada 8,500 kematian adalah kanak-kanak di Yaman sejak campur tangan pakatan itu di negara bergolak terbabit.
Sehari selepas serangan udara itu, pakatan berkenaan mengakui bertanggungjawab ke atas serangan itu dan menyifatkannya sebagai “kesilapan teknikal”.
Pakatan terbabit didakwa membunuh orang awam ketika menjalankan serangan udara ke atas Yaman. – AFP, 22 September, 2017.
Komen