Harapan warga pendidik kepada Maszlee


PERJALANAN hidup saya dalam bidang pendidikan awal dan lanjutan bukanlah satu laluan yang mudah, penuh dengan liku dan duka sehingga menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menghadiri perhimpunan Pakatan Harapan (PH) di PPR Lembah Pantai pada 3 Mei 2018. 

Sebagai seorang pensyarah universiti yang ketika itu bertugas di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, tindakan saya itu adalah satu tindakan yang berisiko tinggi terhadap jawatan dan kerjaya saya kerana tapuk pemerintahan masih lagi dipegang oleh Barisan Nasional (BN). Ketika ramai yang masih meragui keupayaan PH untuk menggantikan BN pada masa itu, saya bangkit untuk melawan. 

Masih terbayang lagi pada hari kejadian, saya pergi ke perhimpunan tersebut sendirian, dengan memandu sendiri kereta saya dan perlu membuat 5 pusingan sebelum akhirnya mendapat tempat yang hampir dengan tapak perhimpunan untuk memudahkan kerusi roda saya keluar daripada kereta dan bergerak ke tempat tersebut. Saya juga sempat ditemuramah oleh MalaysiaKini pada ketika itu.  

Pengorbanan saya adalah demi rakyat Malaysia yang kurang upaya, golongan yang menderita dan merana ketika zaman pemerintahan Najib apabila bukan sahaja perlu membayar keperluan asas berdasarkan keadaan tetapi turut dibebani dengan pelbagai cukai tambahan seperti GST. Keperluan asas yang diperlukan adalah termasuk kerusi roda, tongkat alat bantu jalan, beg air kencing, beg najis dan sebagainya. 

Mungkin ramai di antara kita tidak beranggapan bahawa keperluan yang dinyatakan itu penting sebagai sebahagian daripada kelengkapan seharian tetapi bagi mereka yang sakit dan memerlukan, termasuk saya, ini adalah realiti kehidupan.

Realiti apabila dilahirkan dengan kekurangan dan kebergantungan atas semua keperluan yang dinyatakan. Kami tidak boleh hidup dengan mudah tanpa semua ini. 

Ingin saya jelaskan di sini bahawa saya bukanlah peminat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ataupun Anwar Ibrahim. Mereka merupakan ahli politik yang menyedarkan saya di awal kehidupan di Malaysia bahawa saya adalah seorang yang kurang upaya, tanpa perlu bersuara. 

Pada 1990, saya telah berjaya mendapat 6A1, 1A2 and 1C3 untuk Sijil Rendah Pelajaran. Ketika itu, saya mengagumi abang saya dan rakan-rakannya, seperti Allahyarham Adlan Benan bin Omar, bahawa laluan untuk berjaya bermaksud terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh terkemuka di mana murid terpilih ini akan digilap dan dilatih untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam akademik. 

Bagaimanapun, syarat kemasukan pada ketika itu cukup jelas menggambarkan kekecewaan saya – “Orang-orang cacat tidak dibenarkan masuk ke sekolah berasrama penuh”. Pada waktu itu, hati remaja saya yang berumur 15 tahun hancur berkecai apabila mengetahui bahawa dunia saya, Malaysia saya, tidak akan memandang saya selain daripada seorang yang cacat, dan kenyataan itu hampir memusnahkan saya. 

Masih saya ingat perbincangan antara saya dan mak yang serius berkaitan masa depan saya (saya hanya ada mak, sebab ayah saya telah meninggal dunia ketika saya berusia 2 tahun) dan mak menegaskan kepada saya bahawa saya harus menceburi bidang kerjaya yang tidak melibatkan fizikal; kerjaya dalam bidang perubatan atau sains ternyata di luar perbincangan. 

Ketika itu saya terduduk dan berasa sungguh kecewa. Ya, saya faham, mak takut dan tidak mahu anak perempuannya kecewa dan rasa teraniaya di kemudian hari tetapi saya tetap berdegil dan tekad dengan keputusan saya sendiri. 

Pada 1 Ogos 1998, saya adalah graduan Malaysia yang pertama berkerusi roda dan bertongkat dalam bidang sains tulen. Pada 31 Ogos 2007, saya menjadi pemegang PhD pertama dan satu-satunya di dunia dalam bidang kecacatan tiub saraf/neural (sains penyelidikan) dengan spina bifida.

Akta OKU Malaysia telah diluluskan pada 2008. Tujuan akta tersebut adalah untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia yang kurang upaya tidak dipinggirkan oleh masyarakat. Hak untuk kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan dan semua hak adalah apa yang memanusiakan kita.

Namun, tidak ada seorang pun ahli politik dalam konteks Malaysia Baharu mahupun Malaysia Lama (termasuk Dr Mahathir sendiri) yang menjadikan akta ini sebagai satu keutamaan mereka selain daripada Dr Maszlee Malik.

Saya tidak pernah mendengar nama Maszlee sehinggalah ahli keluarga kumpulan penghidap spina bifida, MALAYSIA NTD, yang turut dianggotai oleh saya, mula menaikkan dan menyiarkan mesej berkaitan agenda positif Maszlee untuk OKU. 

Secara jujur, ini adalah satu keadaan yang tidak pernah berlaku; seorang ahli politik di Malaysia ingin memastikan pendidikan terbaik buat anak-anak OKU dan nasib mereka tidak diabaikan ketika pada masa yang sama seluruh rakyat Malaysia bergerak jauh ke hadapan.

Saya tidak pernah melihat seorang ahli politik yang sanggup membongkokkan atau merendahkan badan untuk bercakap dengan paras ketinggian mata anak-anak kecil. 

Maszlee inilah yang membuat keputusan untuk memulakan langkahnya dengan anak-anak di sekolah, dan ini sendiri dapat menjadi testimoni bahawa beliau adalah individu yang tidak mementingkan diri sendiri. 

Maszlee tidak akan menjadi popular. Saya bersetuju dengan fokus yang diberikan – kanak-kanak perlu menjadi keutamaan, sekolah perlu berfungsi sebaiknya secara teratur, di mana kanak-kanak yang berkelainan upaya ini perlu diserap ke Aliran Perdana dan jika mereka tidak dapat menyesuaikan diri barulah laluan Pendidikan Khas akan dicadangkan, setelah mendapat pengesahan dan konsultasi daripada pakar yang profesional. 

Inilah menteri yang memahami bahawa setiap tindakan beliau adalah atas dasar amanah dan tanggungjawab kepada anak-anak kecil dan lemah dalam masyarakat kita, bukan seperti profesor kangkung. 

Saya faham, mungkin Maszlee perlukan masa yang lebih untuk menangani isu-isu di peringkat universiti, dalam memastikan universiti di Malaysia bebas daripada penyelewengan dan juga untuk membantu dalam perjuangan saya mendapatkan hak asasi saya sebagai pensyarah universiti di Fakulit Perubatan Universiti Malaya untuk makan di kantin tanpa rasa takut akan dilanggar oleh kereta lain kerana tiada akses kerusi roda ke kantin melainkan menggunakan jalan utama.

Dengan ini, saya akan tetap menyokong Maszlee di bawah kerajaan PH demi perubahan seperti yang saya harapkan. – 23 Mei, 2019.

* Dr Noraishah Abdul Aziz adalah penyelidik di Jabatan Parasitologi, Jabatan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen