MAJLIS Perbandaran Segamat (MPS) menafikan ia mengarahkan pegawai penguat kuasanya untuk jadi polis agama bagi memastikan umat Islam menunaikan tanggungjawab berpuasa sepanjang Ramadan.
Macam modus operandi sebuah thriller risikan, pegawai ini menyamar jadi tukang masak dan pelayan makanan untuk menangkap pelanggan Muslim yang makan di gerai makan pada bulan puasa. Sesetengah mereka dilaporkan berkulit gelap supaya senang menyamar seperti pekerja asing.
Tentulah mengasyikkan, dalam bulan yang kering dan panas ini, kalau arahan majlis perbandaran itu betul.
Ini kerana, dengan berbuat demikian, pegawai itu tentunya sudah lari daripada tanggungjawab mereka. Mereka ada senarai tugas yang perlu diberi keutamaan seperti memantau kebersihan tempat makan, kebersihan makanan, sanitasi dan pengurusan trafik.
Kalau mereka berpegang pada bidang tugas dan melaksanakan amanah itu dengan baik, mereka bukan saja akan dipuji dan dihormati oleh pembayar cukai tetapi secara tidak langsung menunjukkan teladan baik sebagai Muslim.
Kita semua tahu, ada banyak cara untuk jadi Muslim yang baik. Mengintip orang lain, dan berlaku syak wasangka bukan satu daripadanya.
Apatah lagi, dengan menyamar jadi pekerja asing berkulit gelap, pegawai perbandaran ini memberikan tanggapan kurang menyenangkan pada pekerja asing ini terutamanya warga Bangladesh dan India yang sudah cukup dicap dengan pelbagai tohmahan dan dilayan dengan buruk oleh warga tempatan.
Itu namanya fitnah – dosa besar dalam Islam.
Lagi pula, presiden majlis perbandaran itu malah lebih tahu bahawa pihaknya diberi tugas tertentu untuk kemaslahatan masyarakat, tanpa mengira kaum dan agama.
Membantu menguatkuasakan tanggungjawab Muslim tentunya bukan tugas khusus pihak berkuasa tempatan. Kita juga tidak mengharapkan mereka berbuat demikian.
Menyamar untuk menangkap orang tidak berpuasa begitu adalah pembaziran duit rakyat, dan selebihnya salah.
Pihak berkuasa tempatan sepatutnya bertanggungjawab kepada masyarakat untuk memenuhi keperluan mereka.
Biarlah kerja jadi pengawas agama ini diserahkan pada pihak berkuasa agama yang merasakan diri mereka ada tanggungjawab “meluruskan” jalan untuk Muslim, terutamanya sepanjang Ramadan ini.
Dari satu sisi, sekiranya arahan pihak berkuasa tempatan itu betul – seperti yang dilaporkan oleh akhbar – “inovasi” mereka itu boleh dianggap sebagai satu bentuk Islamisasi yang melampau, malah membimbangkan.
Legalah apabila presiden MPS memberi jaminan tiada arahan sedemikian kepada pegawainya untuk menyamar – bakat dalam kalangan pegawainya yang boleh dikembangkan.
Jika tidak, Segamat akan jadi tajuk berita dunia – tidak tentu fasal. – 23 Mei, 2019.
Komen