Ketua Pemuda PBS isytihar keluar parti


Jason Santos

Jake Nointin (tengah) selepas sidang media yang diadakan di Keningau bagi mengisytiharkan peletakan jawatan dan keluar parti hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2017.

KETUA  pemuda Parti Bersatu Sabah Jake Nointin meletakkan jawatan selepas timbul desas desus mengatakan beliau menyertai pembangkang. 

Beliau membuat keputusan itu hari ini di Keningau dan mengatakan PBS sudah lari daripada perjuangan asal untuk mempertahankan hak rakyat Sabah dan negeri. 

“Selepas berfikir dengan mendalam hari ini saya dan beberapa rakan dalam PBS membuat keputusan untuk menamatkan keahlian kami berkuatkuasa serta merta. 

“Kini lebih jelas pimpinan parti sudah hilang hala tuju dalam merealisasikan objektif PBS kerana bimbang menjadi sasaran spekulasi negatif dan persepsi,” katanya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan berapa ramai ahli yang mengikuti jejak langkah Nointin namun laporan menyebut sekitar seribu ahli PBS menghadiri sidang media di Keningau hari ini. 

Nointin yang juga ketua bahagian PBS Liawan dikatakan menyertai Parti Warisan Sabah yang diketuai bekas pemimpin Umno Shafie Apdal. 

Sumber PBS memberitahu The Malaysian Insight Nointin mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin kanan Warisan kebelakangan ini.

“Timbul desas desus mengatakan beliau telah mengadakan pemimpin Warisan di Singapura dan Kuala Lumpur sekali dan beberapa kali di Sabah. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen