Putrajaya kaji kembalikan mekanisme penggantian pekerja asing


Mikha Chan

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata perbincangan tentang mekanisme penggantian automatik pekerja asing tamat tempoh visa sudah diadakan dan kini menunggu keputusan Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

MENTERI Sumber Manusia M. Kulasegaran dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin membentangkan kepada Kabinet berkenaan mewujudkan kembali mekanisme kerajaan dalam mencari penggantian cepat bagi pekerja asing dengan pekerja asing yang lain.

Kulasegaran berkata perkara itu dibincangkan dalam satu mesyuarat khas Kabinet semalam.

“Kami membincangkan tentang penggantian, mekanisme yang dihentikan pada 2017. Tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini,” katanya kepada media selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Dong Zong berkenaan latihan teknikal dan vokasional di Universiti Kolej New Era di Kajang hari ini.

Kulasegaran berkata dasar itu membabitkan penggantian pekerja asing secara automatik bagi mereka yang visanya tamat tempoh.

“Selepas mekanisme itu dimansuhkan pada 2017, majikan pada masa ini terpaksa membuat permohonan semula bagi pekerja baharu kepada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri.

“Ia proses yang lama dan memerlukan banyak permohonan,” katanya.

Kulasegaran berkata beliau membangkitkan isu itu kepada Kabinet pada 15 Mac dan satu pengumuman berkenaan keputusannya akan dibuat minggu depan.

Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini berkata tiada pembekuan bagi pengambilan pekerja asing dan ia komited dalam memastikan majikan terus mematuhi undang-undang buruh dan peraturan bagi memantau amalan buruh paksa. – 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen