SEORANG pemilik syarikat swasta bergelar Datuk Seri ditahan reman tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM135 juta berkaitan pembelian kereta perisai.
Majistret Atiqah Abu Hassan membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu ke atas suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada 20 Mei lalu di ibu pejabat SPRM sebelum direman selama empat hari.
Hasil siasatan SPRM setakat ini mendapati jumlah suapan itu diseleweng daripada peruntukan projek daripada kerajaan untuk membeli dua kereta perisai.
Perolehan kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 bilion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta itu dianugerahkan antara 2014 sehingga 2017.
SPRM sudah mengambil keterangan daripada empat individu, termasuk CEO dan ketua pegawai kewangan (CFO) Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) yang ditahan pada 13 Mei.
Syarikat induknya, DRB Hicom Berhad dalam satu kenyataan memberi jaminan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan tersebut. – 23 Mei, 2019
Komen