KETELUSAN agihan tender akan dipertingkat melalui sistem atas talian untuk membendung sikap penyokong parti yang “merengek” meminta projek dan permit, kata Salahuddin Ayub.
Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata beliau berasa rimas dengan sikap tersebut yang semakin berleluasa di kalangan ahli, penyokong parti serta rakan-rakannya.
“Saya rimas dengan kawan-kawan, ahli parti yang minta AP, tender dalam kementerian, ia sehingga direngekkan ke telinga menteri.
“Kita pasti akan letakkan integriti penjawat awam ke peringkat tinggi, ini falsafah wujudnya Pakatan Harapan (PH).
“Orang politik boleh korup, penjawat awam juga boleh korup, saya akan bincang lebih lanjut bagaimana proses ini akan kita muktamadkan dan tamatkan,” kata Salahuddin dalam ucapan di perhimpunan di kementeriannya.
Salahuddin mengadu demikian selepas melantik ramai pemimpin Amanah mengetuai agensi dan pertubuhan bawah kementeriannya.
Ketika ditanya pemberita selepas itu, ahli Parlimen Pulai itu berkata, isu berkatian ketelusan tidak akan timbul lagi kerana setiap permohonan akan disaring oleh jawatankuasa teknikal.
“Semua permohonan tender, AP, kita buat secara atas talian… tidak ada isu orang pergi pejabat, kenal siapa-siapa (kemudian buat permohonan).
“Lepas buat permohonan atas talian akan ada jawatankuasa teknikal yang buat tapisan dan kita cuba yang terbaik (kekalkan ketelusan),” kata Salahuddin lagi.
Timbalan presiden Amanah itu juga berkata pentadbirannya hari ini akan memberi kontrak atau tender dengan mengambil kira kelayakan pemohon, tidak seperti amalan pentadbiran terdahulu.
“Kalau amalan terdahulu, yang kita ingin hapuskan adalah ‘rent seeker’, mereka ini tidak ada kilang, tidak ada-apa tapi boleh terima AP, kita tak mahu (berlaku seperti itu lagi),” katanya.
Sebaliknya, kontrak dan tender tersebut hanya akan diberi kepada pengusaha yang sememangnya terlibat dalam industri, katanya lagi.
“Biarlah kita beri kepada pemain dalam industri, kalau saya juga amalkan perkara sedemikian, kita ada ahli parti dan penyokong, kalau semua kita nak layan kita tidak ada beza dengan yang (kerajaan) dahulu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta agar teguran diberikan kepadanya sekiranya wujud salah guna kuasa demi membantu rakyat.
“Tolong tegur saya kalau kuasa yang ada saya salah guna untuk kepentingan saya, tolong bantu saya nak buat perubahan, dengan kuasa yang ada kita mampu untuk ubah rakyat,” katanya lagi.
Presiden PKR Anwar Ibrahim pada minggu lalu memberi amaran mengenai unsur rasuah yang menurutnya mula menjangkiti Pakatan Harapan.
Anwar berkata, perkara itu dapat dikesan apabila melihat pemimpin PH mula dikelilingi oleh kumpulan tertentu yang melemahkan dan merosakkan gabungan parti itu.
Menurutnya, beliau juga dapat melihat pemimpin PH menunjukkan cara hidup dan perbelanjaan luar biasa walaupun baharu memegang jawatan. – 23 Mei, 2019
Komen