Pulau Pinang, Kedah, Kementerian Pengangkutan adakan mesyuarat berhubung KXP


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengesahkan mesyuarat pada 28 Mei itu akan berlangsung di Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019

KEMENTERIAN Pengangkutan, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah akan mengadakan mesyuarat pada Selasa depan bagi membincangkan cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). 

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat pada 28 Mei itu akan berlangsung di Putrajaya. 

“Tarikh yang ditetapkan adalah 28 Mei untuk ketua setiausaha kementerian pengangkutan, dan setiausaha negeri Kedah dan Pulau Pinang bertemu,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi Whats’App hari ini.

Kerajaan negeri Kedah mencadangkan untuk membina KXP yang dibiayai secara peribadi di Kulim, iaitu pekan di Kedah bersempadan dengan Bukit Mertajam.

Menteri Besar Mukhriz Mahathir memberitahu sidang DUN Kedah bulan lalu bahawa kerajaan persekuta telah meluluskan KXP untuk memfokuskan kepada aktiviti kargo dan logistik, yang akan memberi khidmat kepada taman perindustrian di Kulim dan Pulau Pinang, dan membawa peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Namun kerajaan Pulau Pinang bimbang dengan jarak berdekatan antara KXP dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang akan mewujudkan persaingan yang akan memberi impak kepada Pulau Pinang dan sektor industrinya. 

Keputusan untuk mengadakan pertemuan itu dilaporkan dibuat ketika mesyuarat antara menteri besar dan ketua menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 26 Februari. 

Mesyuara itu membincangkan mengenai bagaimana KXP akan memberi impak secara negatif kepada PIA di Bayan Lepas; dan bersetuju Kementerian Pengangkutan perlu bincangkan dengan segera perkara itu dengan Kedah dan Pulau Pinang. 

Mengenai spekulasi KXP mungkin dibina di Sidam Kiri dekat Sungai Petani, Chow enggan mengulas.

Free Malaysia Today semalam dalam laporannya yang memetik sumber dari Majlis Perbandaran Sg Petani yang tidak dinamakan sebagai berkata, KXP mungkin  akan dibina di sebuah pekan kecil kira-kira 40 kilometer dari utara Kulim.

Sidam Kiri paing hampir dengan Sungai Petani, bersempadan Tasek Gelugor di utara Seberang Perai. 

Sekiranya KXP dibina di Sidam Kiri, apangan terbang baharu itu lebih jauh daripada PIA iaitu kira-kira 75 km berbanding 50 km jika dibina di Kulim. – 23 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen