DUA pekerja cedera dan seorang masih terperangkap selepas sebahagian daripada struktur bangunan tempat letak kereta bertingkat Stesen LRT Putra Terminal Gombak, Taman Melati yang sedang dalam pembinaan, runtuh awal pagi tadi.
Komander Operasi, Penolong Pesuruhjaya Bomba M Murugiah berkata terdapat dua mangsa cedera dalam kejadian itu dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
“Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.13 pagi tadi dan menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dan Gombak Selatan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi turut dibantu anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Murugiah, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu mengesan sekiranya masih terdapat mangsa lain tertimbus di bawah runtuhan.
Kejadian membabitkan bangunan dalam pembinaan dianggarkan berkeluasan 2500 kaki persegi (232 meter persegi). – 23 Mei, 2019.

Komen