Maszlee silap cara pertahan matrikulasi


The Malaysian Insight

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menunjukkan tahap kecerdikan yang lemah dalam mempertahankan keputusan kerajaan dan dengan sewenang-wenangnya mengaitkannya dengan isu perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2019.

KITA tidak mengharapkan menteri semuanya genius. Tidak.

Namun kita harap mereka yang digalaskan tanggungjawab untuk masa depan kita dan anak-anak kita mempunyai kecekapan serta kebijaksanaan pada tahap yang paling asas.

Di sinilah Menteri Pendidikan Maszlee Malik gagal, dan gagal dengan teruk sekali.

Kalau beliau seorang menteri di banyak negara lain, sekarang beliau akan dipaksa letak jawatan.

Bagaimanapun dek suasana semasa di Malaysia yang selalu dibayangi persoalan kaum dan agama dalam apa juga perbincangan, Maszlee ada insurans politik atas ketidakcekapannya.

Kita tiada isu dengan beliau mempertahankan pendirian Pakatan Harapan mengenai matrikulasi dan pertambahan tempat untuk pelajar Melayu menyertai matrikulasi.

Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan bahawa dasar matrikulasi yang menguntungkan pelajar Melayu diperluas dan diteruskan.

Langkah ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong PH. Mereka percaya kerajaan baharu di Putrajaya akan memansuhkan dasar dan program bersifat tindakan afirmatif dalam Malaysia Baharu yang dijanjikan.

Hakikatnya kerajaan baharu ini lebih lemah berbanding semasa ia mendapat mandat kuasa pada Mei setahun yang lalu – kesan pentadbiran yang lesu, tekanan daripada kelompok masyarakat yang bimbang keistimewaan selama bertahun-tahun kini terhakis dan kecenderungan kita melihat segala-galanya di Malaysia dari kaca mata perkauman.

Dalam erti kata lain, Dr Mahathir dan pasukannya tidak rasa cukup selamat untuk melaksanakan sebarang perubahan besar yang mungkin akan menambah tekanan ke atas sokongan lemah orang Melayu terhadap mereka.

Ini sangat mengecewakan tetapi tiada siapa yang kata perubahan boleh dilakukan dengan mudah pada era pasca Barisan Nasional.

Tidak berani dan takut hilang kedudukan dan kuasa bukan eksklusif mana-mana pakatan politik.

Namun apa yang memeranjatkan ialah sikap Maszlee mengaitkan pendirian kerajaan mengenai matrikulasi dengan hujah longgar tentang bagaimana pelajar Melayu dipinggirkan oleh sektor swasta kerana syarat kemahiran bahasa yang dikenakan oleh majikan.

Hah?

Ini lebih teruk daripada membandingkan rambutan dan durian. Ini seolah-olahnya diminta menulis esei tentang perubahan iklim tetapi hasilnya tarif air di Malaysia.

Menteri dan pegawai kanan kerajaan berpusu-pusu mempertahankan Maszlee.

Kata mereka, beliau hanya menyuarakan pandangan Jemaah Menteri mengenai matrikulasi.

Mereka pun sama, tidak memahami kemarahan yang berbangkit.

Silapnya bukan kerana mempertahankan pendirian kerajaan tentang matrikulasi.

Silapnya ialah menunjukkan tahap kecerdikan yang lemah dalam mempertahankan keputusan kerajaan dan dengan sewenang-wenangnya mengaitkannya dengan isu perkauman.

Dengan berbuat demikian Maszlee menunjukkan beliau tiada daya intelektual untuk mengubah sistem pendidikan yang sudah nazak.  – 22 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen