KOREA Utara akan mempertimbangkan untuk menguji bom hidrogen (bom-H) di Lautan Pasifik sebagai tindak balas ancaman Presiden Amerika Donald Trump untuk memusnahkan negara itu, kata menteri luar Pyongyang hari ini.
Dalam satu kecaman sebagai tindak balas terhadap ucapan Trump di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, Presiden Korea Utara Kim Jong Un memberi amaran mengenai “penolakan langkah balas tertinggi dalam sejarah”.
Kim, pada September melakukan ujian bom-H yang menurut Pyongyang mampu dimuatkan ke dalam peluru berpandu.
Tetapi, selepas sejam kenyataan itu disiarkan, Menteri Luar Ri yong-ho bercakap kepada pemberita di New York dan membangkitkan Korea Utara mungkin melakukan ujian nuklear yang lebih tinggi.
“Saya fikir ia akan menjadi ujian bom-H yang pertama kalinya berlaku, mungkin di lautan Pasifik,” katanya.
Namun dia menambah: “Terserah kepada pemimpin kami, saya berapa tahu.”
Ketegangan mengenai program senjata Korea Utara semakin meningkat selama beberapa bulan kerana Pyongyang telah melancarkan beberapa peluru berpandu dan nuklear.
Trump membalas dengan melancarkan serangan baharu yang lebih ketat ke atas Pyongyang. Selasa lalu, Trump berkata Washington akan “menghancurkan sepenuhya” Korea Utara jika AS dan sekutunya terancam.
Kim menegaskan ancamannya untuk “menjinakkan AS yang gila dengan api” bukanlah “ungkapan retorik”.
Penganalisis di Korea Institute for National Unification, Chung Sung-Yoon berkata Kim “berkemungkinan besar” akan meneruskannya jika terus diprovokasi sebegitu.
Walaupun masih belum jelas apakah tindakan Korea Utara, Chung berkata negara itu mungkin akan menguji bom-H di utara Pasifik.
Ini berpotensi mencetuskan usaha Washington menembak jatuh roket itu, kata Chung, sementara China mungkin akna mengambil langkah lebih keras menekan rejim itu dengan sekatan minyak.
Kumpulan pemantau menjangkakan ujian nuklear yang dijalankan di Korea Utara bulan ini - keenam dan terbesar - mempunyai hasil 250 kilotan, iaitu 16 kali ukuran bom AS yang memusnahkan Hiroshima pada 1945.
Walaupun Korea Utara mendakwa boleh mengecilkan saiz bom nuklear untuk diletakkan pada peluru berpandu, namun tiada bukti sahih mereka mampu melakukannya.
Berikutan ancaman “fire and fury” Trump ke atas program peluru berpandu Pyongyang pada Ogos lalu, Korea Utara berkata ia akan menimbangkan serangan berdekatan pangkalan tentera strategik AS di wilayah Pasifik Guam.
Kim kemudian berkata akan menangguhkan rancangan serangan peluru berpandu, tetapi akan meneruskannya jika Washington terus mangambil “tindakan semborono”. – AFP, 22 September, 2017.
Komen