KESUSAHAN dalam hidup tidak boleh dijadikan alasan untuk sesiapa sahaja terlibat dengan jenayah, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meluahkan kekecewaan susulan laporan anggotanya terbabit dalam kes rompakan di Kuala Lumpur dan Puchong baru-baru ini.
“Saya sangat terkejut dan kesal apabila dimaklumkan mengenai jenayah ini. Anggota ini sepatutnya menegakkan undang-undang.
“Bagaimanapun, saya percaya jenayah yang dilakukan oleh anggota polis akan dibanteras dengaan tindakan yang sewajarnya,” kata KPN kepada The Malaysian Insight ketika diminta mengulas mengenai kes rompakan di Kuala Lumpur dan Puchong melibatkan sekumpulan anggota dan pegawai polis.
Abdul Hamid berkata, beliau memberi jaminan anggota terbabit akan diambil tindakan tegas sewajarnya.
“Saya akan pastikannya.”
Menurutnya, apa yang mengecewakan beliau adalah “tiada kekurangan nsihat atau peringatan daripada pegawai atasan mereka” dan anak buah mereka terpengaruh kerana tamak.
Abdul Hamid, yang sering membuat lawatan mengejut terhadap anggotanya dan turun padang sejak dilantik sebagai KPN berkata, beliau perlukan sedikit masa “untuk memperbetulkan perkara ini”.
Tujuh anggota polis, termasuk dua inspektor, ditahan semalam berhubung cubaan memeras ugut RM204,000 daripada seorang pengurup wang di Kuala Lumpur.
Dalam satu lagi insiden di Puchong, sekumpulan lagi anggota polis merompak kedai runcit dan menahan dua etnik Rohingya yang bekerja di premis itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, pasukan itu mengambil serius kes berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai polis terlibat.
“Mereka yang didapati bersalah akan dihukum mengikut undang-undang.”
Mazlan sebelum ini mendedahkan, selain tujuh anggota polis terbabit, empat orang awam termasuh kakitangan Bank Negara, turut ditahan kerana disyaki bersubahat dengan jenayah.
Salah seorang daripada dua inspektor yang ditahan merupakan adalah daripada kolej teknikal polis di Muar, Johor manakala yang lain adalah dari jabatan siasatan jenayah narkotik ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.
Mazlan berkata, selebihnya adalah anggota berpangkat rendah dan bahagian fail dengan tiga daripada mereka adalah dari Balai Polis Sea Park, seorang dari IPD Petaing Jaya dan balai trafik.
Kesemua mereka ditahan pada Isnin dan direman empat hari bermula hari ini.
The Malaysian Insight difahamkan inspektor dan empat anggota dari IPD Petaling Jaya diitahan sekitar pukul 4 pagi pada Selasa.
Permohonan reman empat orang awam, termasuk kakitangan Bank Negara akan dibuat hari ini.
Kesemua suspek berusia antara 31 dan 41 tahun.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 170 dari akta yang sama kerana menyamar. – 22 Mei, 2019
Komen