Tiada masa lagi untuk berdebat


The Malaysian Insight

Bekas perdana menteri Najib Razak dan penasihat DAP Lim Kit Siang mahu berdebat soal kleptokrasi dan integriti yang dirancang untuk diadakan selepas sambutan Hari Raya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2019

LIM Kit Siang sudah berkecimpung dalam politik sejak 1966 manakala bekas perdana menteri Najib Razak terjun ke lapangan politik sedekad kemudian pada 1976. Mereka berdua sudah berdebat di Parlimen dalam rentas waktu sekurang-kurangnya tiga dekad.

Namun debat awam adalah satu hal yang lain pula. Mereka mahu berdebat soal kleptokrasi dan integriti – di tempat dan waktu yang sedang cuba dipersetujui oleh mereka berdua.

Memanglah seronok untuk melihat dua veteran ini berbahas sekali lagi, di luar batas masa perbahasan di Parlimen.

Apatah lagi, Kit Siang kini terpilih ke Parlimen sebagai sebahagian daripada kerajaan setelah hampir 50 tahun jadi pembangkang. Najib pula menanggung malu jadi pemimpin Barisan Nasional (BN) yang pertama hilang kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, debat ini sekiranya berlangsung tiada apa pun nilainya bagi Malaysia dan untuk rakyat Malaysia.

Apa manfaatnya, sebenarnya? Bukti salah seorangnya betul? Bahan untuk media sosial mereka? Kata-kata untuk menutup perbuatan selama ini? Pengakuan salah laku?

Najib didakwa seorang kleptokrat dan mahkamah adalah tempat untuk beliau mempertahankan diri atau menjawab semua tuduhan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SCR International Sdn Bhd atau beg tangan Birkin.

Di mahkamah, bekas perdana menteri akan disoal balas oleh peguam kanan dan tidak akan dibiarkan terlepas dengan gembar-gembur atau penipuan.

Ada batas yang ditentukan secara ketat dengan fakta dan pembuktian. Ini mahkamah undang-undang, bukannya ditentukan oleh pandangan umum.

Sebagai perbandingan, debat hanyalah sebuah sandiwara – tempat kenyataan palsu, sindiran dan pembohongan disatukan untuk ditonjolkan sebaiknya. Kedua-dua pihak boleh mendakwa mereka menang – berjaya menghiburkan penonton yang tidak akan bertambah cerdiknya.

Kit Siang sepatutnya lebih tahu bahawa masa untuk berdebat sudah tamat.

Masa itu luput pada 9 Mei 2018. Beliau menang. Najib kalah. – 22 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen