Sultan Ahmad Shah berjiwa rakyat


Sultan Ahmad Shah (kiri) pernah menerima anugerah FIFA Order of Merit atas sumbangan sepanjang hayat dalam arena bola sepak pada 2012. – Gambar fail AFP, 22 Mei, 2019.

KEMANGKATAN Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi ini semestinya meninggalkan kesan mendalam pada semua pihak, khususnya rakyat negeri Pahang yang mengenali baginda sebagai seorang sultan berjiwa rakyat.

Sikap baginda yang mudah didekati dan mesra dengan rakyat terserlah setiap kali mencemar duli bertemu rakyat di dalam majlis keraian, sambutan peristiwa penting mahu pun melibatkan isu berkaitan kepentingan negeri seperti isu penerokaan tanah haram di Cameron Highlands.

Baginda yang prihatin terhadap isu yang pernah menggemparkan negara pada 2014 itu memberi reaksi spontan dengan mencemar duli ke kawasan yang terlibat dan bertitah agar penerokaan dihentikan serta-merta bagi mengelak kawasan peranginan itu dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Baginda turut menyeru agensi berkaitan membantu mengatasi masalah itu.

Mengenai wujudnya surat kuning (campur tangan istana) untuk tujuan pembangunan atau pertanian di daerah itu baginda bertitah: “Semak dulu dengan kerajaan negeri, mereka jangan sewenang-wenangnya menggunakan nama orang lain, jika saya tahu siapa, saya akan bagi cukup-cukup,” titah baginda.

Baginda juga gigih mencemar duli ke penempatan sementara mangsa banjir untuk bertemu rakyatnya yang berhadapan musibah itu meskipun kesihatan baginda sendiri tidak berapa baik.

Terkenal dengan sikap merendah diri dan sering membahasakan dirinya “saya” ketika bertitah, antara titah baginda ketika bertemu mangsa banjir:

“Apa saja kesulitan yang dihadapi rakyat saya, insya-Allah saya sihat, akan adalah saya di situ,” titah baginda kepada rakyat Pahang yang berdepan dengan bencana banjir pada 2009.

Ketika itu baginda bertitah masih kuat dan sihat untuk turun meninjau di samping berkongsi kedukaan dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat sekiranya masa mengizinkan.

Sultan Ahmad Shah yang juga ketua perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1983 (hingga kini) turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa berkaitan pembangunan modal insan dan ejen perpaduan.

Titah baginda: “Dengan membangunkan keupayaan sumber manusia daripada segi kemahiran teknikal dan konsep, pertubuhan dan negara secara keseluruhannya boleh membentuk satu komuniti berprestasi tinggi berdaya maju,” titah baginda pada Konvokesyen Khas UIAM pada 14 Februari, 2011.

Sultan Ahmad Shah yang pernah menyandang jawatan presiden Bolasepak Malaysia (FAM) pernah memberikan reaksi “the best man wins” apabila baginda diminta mengulas tentang persaingan tiga penjuru merebut jawatan itu sempena Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei, 2014.

Sultan Ahmad Shah bertitah ketika itu baginda tidak kisah dicabar untuk jawatan yang disandang sejak 30 tahun lalu, malah menganggapnya pertandingan sihat.

“Saya presiden, Tengku Adullah pula timbalan presiden dan Tengku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), ketiga-tiga nak bertanding. Perlu bersedia apa-apa saja kemungkinan,” titah baginda.

Baginda bagaimanapun mengesahkan menarik diri daripada mempertahankan jawatannya itu.

Ketika membuat pengumuman itu, baginda bertitah ia adalah atas faktor usia dan ingin memberi laluan kepada barisan pimpinan baharu untuk menerajui badan itu.

“Keinginan untuk teruskan hasrat dan harapan ini masih terus membara. Namun, atas sebab usia, hakikatnya bola sepak memerlukan nafas baharu.

“Atas hakikat ini saya ambil keputusan untuk maklumkan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden hari ini,” titah baginda.

Pada 4 Disember, 2008, baginda menitahkan pemain kebangsaan agar berjuang demi negara pada kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Phuket, Thailand.

Atas jasa dan bakti yang dicurahkan sepanjang dua dekad selaku presiden FAM, Sultan Ahmad Shah turut dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Sukan pada malam Anugerah Sukan Negara 2017 (ASN 2017).

Sumbangan baginda sejak mengemudi badan induk itu pada 1984 tidak dapat dinafikan selepas kejayaan demi kejayaan berjaya diraih skuad kebangsaan sehingga berjaya menduduki ranking ke-79 dunia pada 1993 yang juga merupakan pencapaian terbaik negara.

Sultan Ahmad Shah turut menerima anugerah “FIFA Order of Merit” atas sumbangan sepanjang hayat dalam arena bola sepak pada 2012. – Bernama, 22 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen