AGENSI anti rasuah menahan seorang lagi bekas pegawai kanan sebuah syarikat swasta untuk membantu siasatan kes sogokan bagi mendapatkan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara.
Beliau ditahan dua hari selepas pemilik syarikat berkenaan direman empat hari sehingga Jumaat ini, berhubung siasatan yang sama.
Lelaki bergelar Datuk berusia 56 tahun itu ditahan pukul 10.40 malam tadi selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
“Suspek merupakan individu kedua yang dipanggil daripada syarikat yang sama, selepas bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu hadir membantu siasatan kelmarin,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Pagi tadi, Penolong Pendaftar Siti Roslizawati Mohd Zanin memerintah lelaki itu ditahan reman empat hari sehingga Sabtu ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.
Sumber penyiasat memberitahu lelaki berkenaan bertanggungjawab menguruskan pembekalan aset di syarikat berkenaan dan dipercayai mengetahui setiap perkara yang berkaitan.
Hasil siasatan SPRM setakat ini mendapati jumlah suapan itu diseleweng daripada peruntukan projek daripada kerajaan untuk membeli kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 bilion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta, yang dianugerahkan antara 2014 sehingga 2017.
Dengan penahanan terbaru ini, SPRM sudah mengambil keterangan daripada empat individu, termasuk CEO dan ketua pegawai kewangan (CFO) Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech), anak syarikat DRB Hicom Berhad, yang ditahan pada 13 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, DRB-Hicom berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan tersebut. – 22 Mei, 2019.
Komen