SM Mohamed Idris merupakan seorang yang lain daripada lain dan luar biasa. Pemergian pada 17 Mei lalu membawa kepada berlalunya satu era. Saya ragu akan begitu bertuah untuk mendapat seseorang lagi yang sepertinya.
Beliau mempunyai minda luar biasa, dengan tidak pernah puas terhadap maklumat berhubung semua jenis isu, daripada yang kecil hinggalah kepada besar. Beliau boleh memproses dan sintesis semua maklumat dan melihat hubungan antaranya. Kemudian menterjemahkannya kepada tujuan untuk tindakan konkrit dan dasar.
Beliau memakai intelek, kreativiti dan pengetahuan bagi tindakan praktikal ini dalam kegunaan berterusan, hari demi hari, dari masa remaja hingga ke hari terakhirnya pada usia 93 tahun.
Keluarga dan rakan memberitahunya supaya mengambil mudah, terutama beberapa bulan terakhir. Tetapi tidak bagi beliau. Dia didorong oleh semangat untuk memperbetulkan yang salah dalam komuniti tempatan, negara dan dunia.
Beliau tidak boleh tahan apabila membaca berkenaan kanak-kanak kelaparan ketika begitu banyak makanan dibazirkan. Beliau amat marah dengan penebangan pokok, sama ada di kota atau bukit dan hutan. Beliau tidak tahan dengan kesihatan rakyat Malaysia yang diancam oleh makanan yang tidak selamat, bahaya pekerjaan, kemalangan jalan raya, udara tercemar, apabila semua ini boleh dicegah.
“Aduan!” menjadi satu slogan terkenal Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang ditubuhkan pada 1970 dan memimpinnya hampir setengah abad.
Jika anda ditipu, jika rumah yang anda beli berlubang atau retak di dinding, jika tempat kerja anda membahayakan kesihatan, jika hutan yang menjadi tempat mendaki anda ditebang, jangan biarkan saja atau merungut kepada diri sendiri. Buat aduan rasmi, gerakkan rakan dan jiran, tegaskan hak anda dan lawan balik!
Gesaan Mohamed ini menjadi falsafah yang memandu CAP. Beliau mengubah objektif pergerakan pengguna. Sebagai gantinya tumpuan kepada jenama kamera atau kereta manakah yang akan dibeli (isu utama tradisi pertubuhan pengguna), beliau menukar tumpuan dan melihat kepada sama ada keperluan asas rakyat bagi makanan, kesihatan, pendidikan dan perumahan dipenuhi.
Dengan membawa CAP ke arah ini, Mohamed membuka jalan bagi rakyat bukan hanya di Malaysia tetapi juga di banyak negara lain, untuk meluaskan skop isu yang boleh diambil oleh pengguna.
CAP beroperasi dalam keadaan yang sukar pada awal tahun penubuhannya, apabila kerajaan amat sensitif terhadap kritikan awam apatah lagi bantahan.
Saya masih ingat apabila pulang dari luar negara selepas belajar pada pertengahan 1970-an apabila saya membaca Utusan Konsumer terbitan CAP dengan gambar muka depan pokok casuarina besar dengan akarnya terdedah oleh hakisan di pantai Persiaran Gurney, Georgetown dengan tajuk utamanya, “The death of Penang’s trees”.
“Awak tidak takutkah akan ditangkap dan CAP ditutup?” Saya tanya Mohamed. Dia menjawab: “Kita hanya perlu mendedahkan masalah ini.”
Insiden ini mendedahkan bagaimana takutnya rakyat Malaysia pada masa itu, bagaimana media terkawal ketika itu dan bagaimana Mohamed melihat peranan CAP sebagai satu entiti yang boleh bersuara ketika tiada siapa yang sanggup untuk berbuat demikian.
Melalui seminar tahunan CAP – biasanya melibatkan 50 pembentang kertas kerja dan kertas kerja yang mencakupi semua tajuk khusus seperti keadaan kesihatan, pendidikan atau pembangunan luar bandar, ekonomi dan pentadbiran undang-undang dan keadilan – CAP mendesak dan menegaskan semua isu perlu ditangani.
“Kita membayar cukai yang membiayai operasi kerajaan,” kata Mohamed. “Oleh itu kita mempunyai hak untuk memberikan pandangan kita kepada kerajaan bagaimana kementerian dan agensi berperanan dan bagaimana untuk memperbaikinya.”
Alam sekitar menjadi keutamaan yang besar bagi Mohamed.
CAP menganjurkan forum pertamanya mengenai alam sekitar pada 1971 dan mengadakan simposium mengenai Krisis dalam Alam Sekitar Malaysia pada 1978. Pada 1982, menteri alam sekitar baharu Stephen Yong mengunjungi CAP dan memberitahu kami ia antara tindakan pertama disebabkan usaha CAP yang membawa kepada penubuhan kementerian itu.
Alam sekitar menjadi bidang yang begitu penting sehingga Mohamed mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu lagi pertubuhan untuk menanganinya. Dengan itu lahirlah Sahabat Alam Malaysia (SAM), yang juga dipimpin oleh Mohamed selama 40 tahun.
Pada awal 1980-an, Mohamed berbincang dengan kami mengenai betapa perlunya untuk mengembangkan usaha CAP ke peringkat antarabangsa memandangkan sumber kepada banyak masalah terletak dalam sistem global.
Jadi persidangan CAP pada 1984 adalah mengenai krisis pembangunan dalam dunia ketiga. Pakar, wartawan dan aktivis dari seluruh dunia turut mengambil bahagian. Mereka menggesa CAP menubuhkan satu rangkaian untuk menangani masalah yang dihadapi oleh negara membangun dalam sistem dunia yang tidak seimbang. Oleh itu tertubuhlah Rangkaian Dunia Ketiga (Third World Network).
Mohamed amat terkenal di peringkat antarabangsa. Apabila saya mengunjungi pejabat ikon pengguna Amerika Syarikat yang terkenal Ralph Nader dan berkata saya mendapat penghormatan untuk bertemunya, dia mengejutkan saya dengan berkata: “Penghormatan itu untuk saya. Saya mendengar semua mengenai Mohamed dan CAP. Beliau pejuang hak pengguna dunia.”
Aktivis kesihatan awam terkemuka dari Afrika Selatan, Prof David Saunders, amat tertarik selepas mengunjungi Mohamed dan CAP: “Anda menubuhkan seluruh jentera yang berkesan untuk rakyat mengetahuinya dan berjuang untuk hak mereka.”
Mohamed jauh ke hadapan dalam banyak isu. Beliau memulakan kempen anti-gula tiga dekad yang lalu apabila amat sedikit yang mengetahui akan bahaya pengambilan gula yang berlebihan.
CAP juga membawa isu perubahan iklim lama sebelum kerajaan mengakuinya sebagai ancaman terbesar kepada kelangsungan dunia.
Isu kekebalan antibiotik yang kini dilihat sebagai masalah kesihatan global terbesar, juga diperjuangkan oleh CAP pada 1980-an.
Dua puluh tahun yang lalu, Mohamed amat teruja mengenai keperluan untuk melindungi mikro-organisma dalam tanah: dua tahun lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) menerbitkan laporan mengenai bagaimana pentingnya mikro-organisma ini dan bagaimana ia kini terancam.
Banyak undang-undang ditukar atau diwujudkan disebabkan memorandum dan perbincangan Mohamed dengan pelbagai menteri dan pegawai kerajaan. Dan banyak projek yang dirancang yang dilihatnya sebagai membazir atau merosakkan kepentingan rakyat atau alam sekitar dibatalkan atau diubah suai.
Contohnya, kejayaan kempen CAP bersama NGO lain untuk menyelamatkan Bukit Bendera daripada projek pembangunan besar-besaran pada awal 1990-an.
Mohamed juga menentang rundingan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-AS (yang dibatalkan pada awal 2000-an), dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik dan dalam bentuk baharu iaitu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik Progresif dan Komprehensif (CPTPP).
Beliau berpandangan ini akan menyebabkan Malaysia untuk menyerahkan banyak dasar semasa yang penting dan berkompromi dengan kedaulatan negara. Beliau secara peribadi bertemu dengan menteri perdagangan antarabangsa ketika itu untuk mengemukakan hujahnya dan menghantar beberapa siri surat dan memo kepada pelbagai kementerian lain.
Perjuangan besarnya yang terakhir ialah membantah pelan induk pengangkutan bernilai RM45 bilion, yang beliau percaya akan merosakkan alam sekitar Pulau Pinang dan cara hidup.
Dalam beberapa bulan, beliau secara peribadi memimpin dua bantahan termasuk satu berhampiran tapak projek tebus guna tiga pulau yang dirancang di selatan Pulau Pinang.
Mohamed adalah seorang yang sederhana, sering memakai kurta putih (baju tanpa kolar panjang gaya India) dan kain sarung. Beliau tidak mengejar anugerah. Hanya dua anugerah yang diterimanya iaitu Anugerah Tun Razak, dan Anugerah Ibnu Khaldun Universiti Islam Antarabangsa pada November lepas (walaupun beliau menegaskan anugerah itu diberikan kepada CAP dan bukan kepadanya).
Beliau bukan seorang yang berpuas hati dengan kejayaannya. Sebaliknya, walaupun begitu banyak pencapaian, Mohamed sering kecewa memandangkan begitu banyak ketidakadilan di dunia ini, dan alam ini berhadapan dengan krisis yang paling buruk. Jadi beliau mendorong dirinya dan orang lain untuk terus bekerja yang dimulakan lama dulu.
Ketika saya bertemu di rumahnya di Rose Avenue, George Town, dua Ahad lalu, beliau penuh bertenaga, mengingatkan saya agar CAP terus berusaha untuk mengatasi banyak isu yang masih belum diselesaikan.
Malah selepas kematiannya, anaknya Fatima memberitahu, ayahnya ketika di hospital cuba untuk menyampaikan kepada saya supaya membuat penyelidikan kenapa pengurangan pembaziran makanan juga boleh merendahkan harga makanan.
Saya mula menyatakan Mohamed adalah seorang luar biasa. Beliau tidak mengikuti jalan biasa dunia tetapi membentuk jalannya sendiri, mewujudkan jalan yang akan diikuti oleh orang lain.
Berhubung dengan alam semula jadi, beliau mempunyai kuasa yang istimewa yang dapat melihat pertalian antara satu benda dengan yang lain dan bertapa pentingnya untuk melindungi alam sekitar.
Mohamed salah seorang anak Malaysia sejati yang pernah dihasilkan dan pejuang sebenar kepentingan rakyat dan alam sekitar. Yakinlah bahawa ramai di negara dan dunia akan meneruskan tugas yang anda berbakti untuknya sepanjang hayat.
Mohamed amat prihatin terhadap golongan yang miskin dan tertindas. Beliau mendapat CAP dan SAM untuk memberi keutamaan kepada hak dan kebajikan golongan nelayan, petani dan pekebun kecil, pekerja estet dan kilang, setinggan, penyewa tanah dan rumah, orang asal Sarawak dan orang asli, dan pekerja asing.
Dan ini bermula beberapa dekad dulu sebelum istilah “Bottom 40%” atau B40 menjadi terkenal. – 22 Mei, 2019.
* Martin Khor ialah setiausaha kehormat Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen