Polis siasat satu lagi kes anggota polis merompak


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS menyiasat satu lagi kes rompak dipercayai melibatkan anggota polis yang menyalah guna kuasa.

Kes berlaku petang tadi di Puchong, Selangor membabitkan mangsa dua warga Rohingya yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit, kata sumber polis.

Dalam kejadian pukul 8.45 malam semalam, The Malaysian Insight difahamkan empat lelaki menyamun RM3,200 dari kedai runcit itu sebelum menahan mangsa dan seorang saudaranya.

“Seorang daripada suspek sempat memadamkan kamera litar tertutup yang merakamkan kejadian,” kata sumber polis.

Suspek kemudian membawa mangsa menaiki sebuah kereta berwarna perak dan mempunyai lambang pasukan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM).

Hampir tiga jam kemudian, bapa saudara mangsa bertemu dengan seorang suspek meminta anak saudaranya dilepaskan.

Suspek bagaimanapun meminta tambahan RM5,000 sebagai balasan pembebasan, yang tidak dilayan oleh bapa saudara mangsa.

Mangsa dibebaskan di tepi jalan dekat Sunway Mentari apabila bapa saudara mangsa datang ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat aduan

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak. – 21 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen