5 polis merompak ditangkap


Alfian Z.M. Tahir Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis kini memburu saki baki ahli kumpulan itu termasuk seorang pegawai pasukan di Ibu Pejabat Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2019

LIMA pegawai dan anggota polis ditangkap selepas menyamar sebagai pasukan dari Bukit Aman dan kemudian menyamun sebuah premis pengurup wang di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Sumber memberitahu The Malaysia Insight, polis kini memburu saki baki ahli kumpulan itu termasuk seorang pegawai pasukan di Ibu Pejabat Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang dipercayai dalang utama jenayah.

Dua daripada mereka yang ditahan ialah pegawai berpangkat inspektor dan sarjan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Petaling Jaya manakala tiga lagi anggota Balai Polis Sea Park, tambahnya.

Jenayah mereka hujung minggu lalu terbongkar hasil rakaman kamera litar tertutup di premis pengurup wang di Bangunan Cahaya Suria di Jalan Silang.

The Malaysian Insight difahamkan kumpulan lelaki itu mendakwa mereka dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan sedang melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premis berkenaan yang didakwa beroperasi tanpa lesen.

“Apabila pemilik pengurup wang itu mula panik, mereka mengambil RM4,000 dari peti besi di premis tersebut sebelum memintanya membayar lebih wang bagi mengelak tindakan diambil.

“Pada hari yang sama, mangsa membayar RM200,000 kepada kumpulan lelaki itu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun HS Lee untuk tindakan lanjut,” kata sumber yang maklum mengenai siasatan kes kepada The Malaysian Insight.

Atas aduan dan maklumat dari mangsa, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi dikerah membuat siasatan di tempat kejadian.

“Hasil siasatan ke atas rakaman cctv, identiti kumpulan lelaki itu dikenal pasti. Lima daripada mereka ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara (Petaling Jaya) pagi ini,” kata sumber.

Sementara itu, polis turut memburu tiga lagi lelaki yang berada di premis berkenaan pada hari kejadian.

“Selain anggota polis yang ditahan dan seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman yang dikehendaki, kita mencari tiga lelaki yang berada di lokasi ketika kejadian.”

“Mereka mendakwa pegawai dari Bank Negara,” kata sumber.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas jenayah rompak berkumpulan dan Seksyen 170 akta sama bagi jenayah menyamar sebagai penjawat awam. – 21 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen