-2.jpg)
KENYATAAN Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berhubung projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) merupakan satu pengakuan terhadap pencapaian kerajaan Barisan Nasional (BN) serta secara langsung mendedahkan fitnah dan hasutan yang digunakan Pakatan Harapan (PH) dalam kempen mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dahulu.
Sebelum ini, projek MCKIP didakwa PH sebagai “menjual negara kepada China” dan juga didakwa tidak menguntungkan penduduk tempatan kerana hanya pekerja dari China diambil bekerja di kilang-kilang berkenaan. Malah, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegaskan bahawa “Tembok Besar China Kuantan” harus diroboh.
Namun, setahun kemudian pertukaran pendirian kerajaan baharu boleh dilihat apabila Nga memuji potensi MCKIP sebagai perangsang ekonomi bagi negara yang telah membawa masuk pelaburan berjumlah RM12 bilion dan bakal mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam beberapa tahun lagi.
Kesemua fakta ini pernah ditekankan oleh pemimpin BN dahulu dan kami berterima kasih kepada beliau kerana memperakui keputusan dan pencapaian kerajaan BN.
Justeru itu, kami mahu pemimpin PH memohon maaf atas fitnah dan penipuan yang ditabur semasa kempen PRU14 dalam usaha mereka untuk menjatuhkan imej BN dan menghasut kebencian rakyat terhadap kerajaan.
Sebenarnya, projek MCKIP ini memang bermanfaat kepada negara. Ia juga merupakan sebahagian Inisiatif Belt and Road (BRI) oleh China untuk menjadikan Malaysia amnya dan Pelabuhan Kuantan khususnya sebuah hab logistik maritim di rantau Asia Tenggara. Sekaligus akan meningkatkan pendapatan negara dan merangsangkan industri eksport negara.
Walaupun pusingan-U kerajaan PH kali ini dialu-alukan kerana dibuat atas logik dan fakta serta bukannya mengikut perasaan semata-mata, namun keyakinan pelabur terutamanya dari China telah terjejas ekoran kegagalan kerajaan PH menangani cabaran ekonomi yang telah menyebabkan terhakisnya keyakinan mereka terhadap kerajaan.
Oleh itu, diharapkan PH akan mempelajari kesilapan mereka dan tidak membuat janji-janji dengan sewenang-wenangnya tanpa mengendahkan padahnya. – 21 Mei, 2019.
* Quek Tai Seong adalah setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pahang merangkap pengerusi MCA Bahagian Indera Mahkota.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen