MAJIKAN sepatutnya bimbang dengan satu kaji selidik yang dijalankan mendapati 36% lepasan ijazah berhenti kerja dalam tahun pertama mula bekerja bagi mencari prospek dan gaji lebih baik.
Kaji selidik dijalankan Monster.com menunjukkan 74% bakat muda yang dikaji meninggalkan kerja masing-masing kerana “kurang perkembangan”, sementara 43% lagi mahukan gaji lebih tinggi.
Pengarah Urusan Monster.com Asia Pasifik Sanjay Modi berkata perbezaan pandangan antara majikan dan lepasan ijazah agak membimbangkan.
“Majikan perlu bimbang dan mencari cara untuk menarik perhatian, mengambil dan mengekalkan bakat muda dalam syarikat mereka bagi jangka panjang. Namun, mungkin juga bakat muda yang mengharapkan sesuatu lebih tinggi, dalam tempoh terlalu awal.”
Sanjay berkata majikan perlu melihat kepada kenaikan pangkat yang dikehendaki lepasan ijazah dalam tempoh 12 bulan pertama mereka bekerja.
“Ini masanya di mana bakat muda perlu membuktikan diri mereka bagus, bekerja keras dan mencapai sasaran seperti dalam skop pekerjaan.
“Lepasan ijazah tidak sepatutnya mengharapkan dinaikkan pangkat dan tambahan tanggungjawab sebelum mencapai sasaran itu.”
Kaji selidik itu membabitkan lebih 700 majikan dan lepasan ijazah di negara ini, dengan matlamat mencari cabaran dan jangkaan dalam proses pengambilan pekerja bagi bakat muda tempatan.
Berkaitan cabaran dalam pekerjaan, majoriti lepasan ijazah berkata mereka kekurangan pengetahuan mengenai industri dan pengalaman hingga menjejaskan keyakinan mereka.
Kaji selidik itu juga mendapati 58% lepasan ijazah bersetuju yang pekerjaan pertama mereka kunci untuk membuka laluan pada kerjaya masa depan, tetapi 24% berkata mereka terpaksa bergelut dengan kekurangan bimbingan dan 22% berkata majikan adalah cabarannya.
Kaji selidik itu juga mendapati 21% bakat muda merasakan mereka sepatutnya menerima pampasan lebih baik dan 20% masih belum bersedia dengan dunia pekerjaan.
Bagaimanapun, 80% majikan yang dikaji selidik percaya mereka sudah pun menyediakan sokongan mencukupi kepada lepasan ijazah untuk mereka berjaya.
Kaji selidik itu mendapati 67% majikan menghabiskan masa kurang tiga minit membaca resume pemohon, dengan 50% hanya membaca sekali imbas antara satu dan tiga minit, dan 17% lagi menyemaknya dalam masa kurang seminit.
Sebanyak 68% majikan didapati berminat dengan pengalaman pemohon, sementara 58% lagi minat terhadap pendidikan dan kelayakan calon.
Amat penting untuk pemohon menghantar resume yang bagus, dengan 45% majikan mengharapkan resume ditulis dengan baik, dengan hanya 11% tidak peduli jika ada kesilapan ejaan dan tatabahasa.
Sebanyak 8% majikan berkata mereka suka jika diberikan pautan kepada portfolio kerja pemohon, sementara 5% majikan mencari calon yang ada pengalaman melakukan kerja sukarelawan.
Kaji selidik itu juga menunjukkan antara cara untuk bakat muda mendapat pekerjaan dengan lebih cepat ialah dengan melengkapkan latihan amali sebelum mencari pekerjaan.
Di Malaysia, 60% lepasan ijazah berkata mereka melengkapkan sekurang-kurangnya satu latihan amali sebelum mendapatkan pekerjaan pertama, sementara 91% majikan berkata amat penting bagi pencari kerja selesai dengan latihan amali.
Kaji selidik itu mendapati hanya 42% majikan di negara ini menawarkan program latihan amali. – 22 September, 2017.
Komen