3 daripada 4 rakyat Malaysia tiada simpanan RM1,000 untuk kecemasan


Sheridan Mahavera

Kenaikan harga barangan turut menjadi faktor kepada ketidakmampuan rakyat Malaysia membuat simpanan apatah lagi tiada peningkatan pada pendapatan isi rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2017.

SEKALI pandang, semuanya kelihatan baik. Dia menguruskan kedai roti di pinggir Kuala Lumpur, memandu kereta BMW terpakai dan tidak berharap lebih daripada itu.

Minggu lalu, segala-galanya mula terserlah apabila jualannya menurun mendadak beberapa bulan berturut-turut  dan menyerlahkan fakta ini: Simon tidak mempunyai simpanan untuk membantunya mengharungi perniagaan berusia tiga tahun yang merudum.

Dia terpaksa mendapatkan pinjaman segera sebanyak RM2,000 daripada rakan untuk menyelamatkan perniagaannya. Dia tidak merancang sebarang persediaan untuk hari hujan. Dia tidak mempunyai penampan bagi mengurangkan penurunan mendadak dalam jualan.

Malangnya, bapa kepada seorang anak gadis ini tidak bersendirian. Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mendedahkan dapatan kajian celik kewangan yang menunjukkan tiga daripada empat rakyat Malaysia didapati sukar mengadakan walau RM1,000 bagi kecemasan.

Kaji selidik BNM 2015 juga menunjukkan majoriti rakyat Malaysia cenderung berhabis untuk kepuasan segera dan bukannya merancang untuk jangka panjang. Hanya satu daripada empat mempunyai sebarang bentuk pelaburan.

Dapatan itu sepadan dengan kajian awal The Malaysian Insight, yang mendapati pegawai awam berpangkat rendah tidak dapat menyimpan wang setiap bulan selepas membelanjakannya untuk keluarga.

Penjawat awam berkata mereka tidak dapat menyimpan kerana pendapatan tidak seiring dengan kos sara hidup yang meningkat.

Wang simpanan yang sedikit dihabiskan apabila berhadapan saat kecemasan kecil, seperti membaiki kenderaan atau menggantikan perkakas elektrik.

Bagaimanapun, ahli ekonomi dan aktivis ditemuramah The Malaysian Insight berkata kadar tabungan yang rendah lebih berkaitan dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah dan bukannya tahap celik kewangan yang rendah.

Pakar ekonomi Ali Salman berkata: “Simpanan ada kaitan dengan pendapatan dan perbelanjaan. Jika perbelanjaan naik tetapi pendapatan tidak meningkat secara berkadaran, akan berlaku penyimpanan yang sedikit.”

Data kerajaan sendiri menunjukkan pendapatan purata bagi setiap individu jatuh sebanyak 15% daripada AS$10,345 pada 2013 kepada AS$8,821 pada 2016, kata Ali daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Pejuang hal ehwal pengguna Paul Selva Raj menyokong pemerhatian ini, mengatakan perancangan kewangan yang lemah bukanlah punca utama rendahnya kadar simpanan.

“Faktor lain yang penting adalah kenaikan harga barangan. Ini termasuk makanan, produk dan perkhidmatan isi rumah,” kata Selavaraj, setiausaha agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia.

Kajian itu didedahkan Timbalan Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour ketika berucap pada majlis pelancaran modul pengajaran “Pengurusan Kewangan untuk Persaraan” pada 7 April.

Faktor penting lain yang dimasukkan kajian itu adalah majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai pengetahuan sepatutnya dalam hal kewangan bagi membuat keputusan.

“Kebanyakan rakyat Malaysia menyatakan mereka akan berhadapan tekanan kewangan jika hilang sumber pendapatan,” kata Rasheed.

“Bagi individu dan isi rumah, celik kewangan merupakan satu kemahiran hidup yang penting. Mereka yang membuat keputusan kewangan bijak berpotensi lebih berdaya tahan dan berakhir dengan standard hidup lebih tinggi bagi menjalani kehidupan sepanjang hayat, termasuk semasa tempoh persaraan.”

Kajian Fomca sendiri mendapati 47% daripada responden berkata mereka hidup di luar kemampuan.

Bersara miskin

Keupayaan rakyat Malaysia bersara dengan simpanan mencukupi juga menjadi isu, kerana BNM mendapati hanya 40% bersedia dari segi kewangan untuk persaraan, kata Rasheed.

“Umumnya, golongan muda berusia antara 20 hingga 35 tahun melihat perancangan kewangan jangka panjang hanya terpakai bagi tempoh 10 hingga 20 tahun.

“Fokus perbincangan kumpulan dengan pesara baru-baru ini menunjukkan mereka masih akan bergantung kepada anak-anak atau membeli menggunakan kad kredit jika berlaku kecemasan atau bagi barangan bernilai tinggi.”

Tinjauan The Malaysian Insight di kalangan penjawat awam berpendapatan bawah RM3,000 sebulan menyokong fakta ini.

“Kebanyakan pengguna di Malaysia tidak mempunyai wang untuk kecemasan, apatah lagi bersara,” kata Selvaraj.

Zainal, tukang kebun majlis tempatan ditemui The Malaysian Insight berkata, dia “menyerahkannya kepada takdir dan anak-anaknya” apabila ditanya mengenai wang simpanan untuk persaraan.

Seorang lagi pesara kerajaan, Karim, berkata dia tidak dapat bergantung kepada anaknya untuk bantuan kewangan kerana mereka sendiri mempunyai masalah untuk terus bertahan di Lembah Klang.

Zainal dan Karim hanya memberikan nama pertama mereka kerana kakitangan awam tidak dibenarkan bercakap kepada pihak media.

“Anak-anak memberi saya wang apabila saya memerlukannya. Tetapi bulan berikutnya, mereka pula meminjam daripada saya. Jadi, pada akhirnya, ia sama sahaja. Saya tidak mendapat sebarang wang tambahan. “

Ali berkata mempunyai skim insurans berpatutan mampu menjadi bantuan kepada pengguna menangani kenaikan mendadak dalam perbelanjaan disebabkan hal kecemasan. – 12 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • The rising cost of living is beyond the control of ordinary Malaysians. With more subsidies taken out, gst remains a big burden, and volatile weeklu oil prices is giving alot of headaches

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jimmy Jimmy · Ulasan