Tambakan laut Pulau Pinang jejas nelayan Perak, kata aktivis


Looi Sue-Chern

18 organisasi bukan kerajaan hari ini mendakwa projek tambakan laut Pulau Pinang akan menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan di perairan Perak. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 20 Mei, 2019.

KUMPULAN alam sekitar dan masyarakat sivil memberi amaran yang komuniti pesisir pantai di Perak akan terjejas dengan cadangan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana aktiviti perlombongan pasir.

Mereka mendakwa pasir untuk projek tambakan laut itu akan dilombong daripada kawasan perairan Perak dari Manjung hingga Tanjung Piandang, menjejaskan kehidupan 6,080 nelayan di kawasan itu.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) berpangkalan di Perak mendakwa perlombongan pasir itu akan menyebabkan hakisan kawasan hutan paya bakau yang penting untuk perlindungan pantai dan sumber makanan laut.

“Ini pernah berlaku sebelum ini di Lekir, Kuala Sepetang dan Kuala Krau kerana tambakan di Pulau Pangkor. Ia masih berlaku sekarang,” kata Presidennya Hafizuddin Nasaruddin

“Bila pesisir pantai terjejas, begitu juga dengan tapak pendaratan penyu dan sumber perikanan.”

18 organisasi bukan kerajaan- termasuklah Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai, Penang Inshore Fishermen Welfare Association (Pifwa), Aliran, Malaysian Nature Society, Suaram, Klimate Action Utara Malaysia dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) – menggesa PSR dibatalkan.

PSR bermatlamat membina tiga pulau buatan manusia seluas 1,821 hektar di kawasan selatan perairan Pulau Pinang untuk menjana dana diperlukan bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMT) bernilai RM46 bilion.

Kumpulan itu melancarkan petisyen pada 10 Mei ditujukan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sehingga mencetuskan idea PTMP, kerajaan negeri sewajarnya melabur untuk sistem pengangkutan awam yang lebih baik.

“Kita perlukan sistem pengangkutan awam yang boleh menggerakkan 70% hingga 80% penduduk dan bukannya masalah besar seperti ini (PTMP), yang sebaik dilaksana tidak boleh dibatalkan.

“Kami tak nampak rasionalnya. Kita tak perlukan lebih banyak tanah (untuk kawasan pulau) sedangkan ada banyak lagi tanah untuk pembangunan di Seberang Prai.” – 20 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen