Seorang lagi ditahan siasatan rasuah beli peralatan tentera


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG pemilik syarikat swasta ditahan agensi anti rasuah kerana disyaki terlibat dalam sogokan bagi mendapatkan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara, seminggu selepas dua pegawai kanan Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) ditahan untuk siasatan kes sama.

Majistret Shah Wira Abdul Halim memerintah lelaki 39 tahun itu ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini.

Lelaki berkenaan ditahan agensi anti rasuah kira-kira jam 11 malam tadi semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam.

Sumber SPRM berkata suspek disyaki telah memberi sejumlah wang untuk dianugerahkan projek pembekalan peralatan kereta perisai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 memberi suapan.

SPRM sebelum ini menahan dua pegawai kanan Deftech, sebuah anak syarikat DRB Hicom Berhad, berhubung dakwaan ada rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Hari ini, ketua pegawai eksekutif Deftech dibebaskan dengan jaminan RM20,000 oleh seorang penjamin selepas ditahan reman sejak 13 Mei lalu. Beliau pada mulanya direman empat hari sebelum disambung sehingga hari ini pada Khamis lalu.

Pada Khamis lalu juga, ketua pegawai kewangan Deftech turut dibebaskan daripada reman dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin.

DRB-Hicom, syarikat pemilik Deftech, dalam satu kenyataan sebelum ini berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan tersebut. – 20 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen