.jpg)
PENGUMUMAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai pelantikan seorang senator mewakili belia merupakan satu pengiktirafan bagi aktivis belia seluruh negara. Sudah pasti pengumuman ini berita gembira buat golongan belia yang mewakili 42% rakyat Malaysia yang akan memastikan penglibatan suara belia dalam setiap keputusan mahupun dasar negara.
Lebih signifikan, pengumuman ini dilakukan ketika sambutan Hari Belia Malaysia peringkat kebangsaan yang diadakan bersempena Majlis Perhimpunan Agong Tahunan ke-68 Majlis Belia Malaysia.
Secara tidak langsung, ini pengiktirafan kerajaan baharu di bawah pimpinan Dr Mahathir yang memberi pesanan jelas bahawa belia dan anak muda diberikan keyakinan untuk bersama-sama memeta pembangunan negara.
Bagi menjayakan agenda “Youth Power”, kerajaan wajar meneliti cadangan agar had umur kelayakan senator diturunkan. Perkara 47(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seorang warganegara boleh dilantik sebagai ahli Dewan Negara jika berumur tidak kurang daripada 30 tahun.
Peruntukan ini tidak pernah diubah sejak penyediaan Perlembagaan Merdeka oleh Suruhanjaya Reid pada 1956. Umur 30 tahun bagi melayakkan seseorang itu dipilih sebagai senator di Dewan Negara Malaysia adalah tinggi berdasarkan keperluan semasa dan sekiranya dibandingkan dalam umur kelayakan di negara maju yang lain.
Justeru, persoalan untuk menurunkan usia bagi membolehkan lantikan senator dalam kalangan mahasiswa direalisasikan memerlukan kehendak politik yang kukuh daripada para Yang Berhormat. Satu rang undang-undang pindaan perlembagaan perlu dikemukakan bagi meminda Perkara 47(a) dalam penetapan umur ahli Dewan Negara. Ia memerlukan sokongan dua pertiga di kedua-dua Dewan Parlimen sebagaimana termaktub dalam Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan.
Perdebatan yang seterusnya, berapa umur paling sesuai untuk lantikan sebagai senator? Ini memerlukan satu penelitian berdasarkan realiti Malaysia serta amalan negara lain.
Di Australia, perlembagaan menetapkan kelayakan untuk menjadi ahli senat adalah sama dengan kelayakan menjadi ahli Dewan Perwakilan iaitu 21 tahun. Kelayakan ini sama seperti diamalkan di House of Lords United Kingdom.
Mencedok amalan negara lain, umur 21 atau 23 dilihat sesuai untuk dilaksanakan. Di Malaysia, kelayakan untuk melayakkan seseorang individu bertanding dalam pilihan raya adalah 21 tahun sebagaimana ditetapkan Perkara 47(b) Perlembagaan. Penetapan standard umur yang sama pastinya membuka peluang bagi golongan mahasiswa anak muda mendapat tempat di Dewan Negara tanpa perlu bersaing dengan para warlord dalam parti politik.
Tambah pula, cadangan ini selaras dengan komitmen Jemaah Menteri bagi menurunkan had kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi dan cadangan takrifan baharu umur belia di bawah 30 tahun.
Senator mahasiswa
Sekiranya kerajaan bersetuju menurunkan umur kelayakan senator Dewan Negara, ini pastinya juga akan membuka ruang untuk suara mahasiswa diwakili dan seterusnya mampu membawa satu naratif yang lebih tepat tentang permasalahan sebenar kelompok ini. Agak janggal jika suara dan kehendak mereka diwakili oleh individu yang bukannya datang dari kelompok mereka sendiri.
Untuk rekod, idea ini sudah lama dilaungkan. PKPIM sebagai organisasi gerakan pelajar ulung tanah air konsisten mempertegas tuntutan seorang wakil senator mahasiswa melalui pengisytiharan 13 tuntutan mahasiswa PRU12. Pendirian ini terus diulangi dengan nada yang sama pada PRU13 dan pasca PRU14 yang lalu.
Kerajaan hari ini wajar bersifat lebih terbuka, sedia meraikan suara anak muda bagi memastikan mereka bukan sahaja dapat menyuarakan pendapat mewakili golongan mereka, bahkan juga dapat bersama-sama menyumbang kepada penyuburan suasana demokrasi yang lebih sihat seterusnya dapat memangkin kemajuan negara di masa akan datang. Ini sekaligus mengiyakan apresiasi yang dilontarkan Kofi Annan, mantan Setiausaha Agung PBB kepada generasi muda: “You are never too young to lead”. – 20 Mei, 2019
* Ahmad Farhan Rosli merupakan Penolong Setiausaha Agung 1 PKPIM dan mahasiswa Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen