Harapan makin tipis kesan mangsa terselamat gempa bumi Mexico


Pekerja sukarelawan mendengar taklimat sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa dan mayat selepas gempa bumi teruk melanda Mexico, Selasa lalu. – Gambar AFP, 22 September, 2017.

MEXICO gelisah menanti tanda-tanda masih ada mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan kerana keadaan semakin terdesak dalam usaha mencari dan menyelamat selepas tiga hari gempa bumi itu berlaku.

Pihak berkuasa menyatakan jumlah kematian akibat gempa bumi berskala 7.1 Richter pada Selasa itu mencecah 272 orang, dengan angka berkenaan dijangka meningkat.

Sukarelawan yang menjejaki mangsa terselamat sejak Selasa semakin letih dengan terpaksa terus mengalihkan bertan-tan bekas runtuhan bangunan di ibu kota dan beberapa daerah lain.

Tetapi, masa semakin hampir tamat. Pakar berkata purata tempoh mangsa masih boleh bertahan dalam keadaan seperti itu dan bergantung pada kecederaan ialah 72 jam.

Kira-kira 200 orang dilaporkan masih hilang di Mexico City dan dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan.

Di bandar bersebelahan Roma, pekerja penyelamat berusaha mengesan 23 orang dipercayai berada dalam bangunan pejabat tujuh tingkat yang runtuh.

Mereka sudah pun berjaya menarik keluar 28 orang daripada timbunan runtuhan. Tidak ada kematian dilaporkan di situ setakat ini.

Mengikut pecahan jumlah kematian ialah 137 di Mexico City, Morelos (73), Puebla (43), Mexico (13), Guerrero (5) dan seorang di Oaxaca.

Semakin menimbulkan kekecohan ialah mengenai kisah seorang pelajar perempuan yang dikatakan terperangkan dalam timbunan runtuhan sebuah sekolah di Mexico City.

Pihak berkuasa bagaimanapun menafikan kewujudan pelajar itu. – AFP, 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen